KUALA LUMPUR - Program Usahawan Retort akan diperluas ke lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi peluang golongan sasar menyertai program itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata, menerusi program itu peserta dapat mempelajari teknologi baharu pembungkusan makanan iaitu teknologi retort, yang membolehkan makanan tahan lebih lama sehingga 18 ke 24 bulan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Iklan
Iklan
Katanya, seramai 105 individu yang terdiri daripada usahawan kecil dan suri rumah di PPR Hiliran Ampang, di sini telah terlibat dalam projek rintis program berkenaan.
"Golongan berpendapatan rendah ini sudah pasti memerlukan teknologi baharu untuk menjana pendapatan yang lebih.
Usaha yang berterusan mampu mengubah kehidupan dan kementerian sentiasa menyokong segala usaha pembangunan ekonomi wanita, keluarga dan peniaga kecil menerusi pelbagai program,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek rintis Usahawan Retort: Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di PPR Hiliran Ampang, di sini pada Sabtu.
Rina berkata, teknologi membasmi mikroorganisma dalam masakan dengan suhu sehingga 121 darjah Celsius, mampu menjadikan makanan terjamin dari segi kebersihan dan kesegaran serta sesuai dipasarkan bagi tujuan komersial. - Bernama