Sarawak peroleh manfaat jika Hong Seng ada dalam DUN

Iklan
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg . Foto Bernama

KUCHING - Sarawak akan memperoleh manfaat yang besar jika Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Hong Seng calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Padungan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, adalah seorang Datuk Bandar berpengalaman dengan banyak idea bernas yang mampu membawa lebih banyak kebaikan kepada negeri itu.

Iklan
Iklan

"Ada orang cakap Hong Seng seorang Datuk Bandar yang amat hebat, jadi mengapa tidak minta beliau untuk jadi Datuk Bandar sahaja. Jadi, saya cakap dia banyak idea, mengapa tidak beri peluang kepadanya untuk berada dalam DUN kerana semua orang di Sarawak akan mendapat manfaat.

"Jangan pernah terpedaya dengan fikiran sebegini... jangan undi Datuk Bandar Hong Seng, nanti kita akan kehilangan Datuk Bandar kita. Sebenarnya beliau boleh jadi ADUN dan pada masa yang sama, beliau juga boleh jadi Datuk Bandar,” katanya ketika berucap pada pelancaran projek pembangunan semula kolam renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini pada Sabtu.

Iklan

Hong Seng akan menentang Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Pengarah Pilihan Raya Parti Bumi Kenyalang (PBK) Raymond Thong dan Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo di DUN Padungan.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian pada 18 Disember ini. - Bernama

Iklan

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my