PUTRAJAYA - Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) akan menyalurkan peruntukan berbilion ringgit untuk manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara dalam Bajet 2022.
Peruntukan itu merangkumi pembiayaan skim kredit mikro berjumlah RM1.8 bilion.
Keseluruhan peruntukan itu disediakan MOF untuk mengembalikan keupayaan perniagaan pengusaha golongan PMKS selepas berdepan situasi sukar akibat impak penularan Covid-19 hampir dua tahun.
Peruntukan besar itu juga menjadi suntikan berterusan MOF kepada pengusaha PMKS kerana sebelum ini pelbagai bantuan diberikan untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan perniagaan menerusi lapan pakej rangsangan ekonomi yang memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan.
Rata-rata pengusaha PMKS mengakui bantuan yang diberikan kerajaan, terutama pemberian 'one-off' Geran Khas Prihatin (GKP), dapat mengelakkan mereka daripada gulung tikar.
Usahawan produk kuih sejuk beku jenama Khaty Aini, Khadijah Aini Mohamed, berkata, impak negatif pandemik Covid-19 menyebabkan beliau hilang separuh punca pendapatan apabila tidak dapat menjual kuih sejuk beku yang dihasilkan di pasar tani, ekoran Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
"Saya bernasib baik sebab saya turut pasarkan kuih di pasar raya, jadi pendapatan tak hilang sepenuhnya ketika peringkat awal pelaksanaan PKP, namun jualan memang berkurangan.
"Berikutan penurunan mendadak hasil jualan, saya bersyukur kerana dapat bantuan GKP, dan dengan wang tunai yang diperoleh itu saya jadikan modal pusingan untuk bangkit semula dengan menambah stok kuih sejuk beku di pasar raya," katanya.
Bercerita lanjut, ibu tujuh anak itu memberitahu, percubaanya menambah stok nyata berjaya kerana permintaan dan trend pembelian kuih sejuk beku sepanjang tempoh pandemik naik mendadak berikutan orang ramai hanya duduk di rumah, sekali gus ia mendorong kuih sejuk beku menjadi pilihan mereka sebab mudah dimasak dan disediakan.
Permintaan yang tinggi juga membolehkan usahawan berusia 45 tahun dari Kemaman, Terengganu itu terus kekal menggaji seorang pekerja untuk menyiapkan penghasilan 20 jenis kuih setiap hari.
Kuih-muih yang dikeluarkannya termasuk karipap, pau goreng, donat, sardin gulung, sosej gulung, kasturi, bom bijan, rori keramat, ropa ikan, puteri ayu serta roti canai.
"Alhamdulillah dengan bantuan diberi kerajaan, jualan kuih sejuk beku saya sehingga kini terus meningkat hingga saya dapat buka kedai memproses kuih sejuk beku pada Mei lalu. Sebelum itu saya hanya buat kuih di rumah.
"Saya juga sangat bersyukur kerana kerajaan terus salurkan pelbagai bantuan kepada PMKS melalui Bajet 2022 dan saya juga nak mohon bantuan itu untuk kembangkan lagi bisnes," katanya.
"Waktu awal-awal pandemik, jualan kuih keria saya merosot teruk. Saya bukan sahaja saya tak ada duit untuk buat modal pusingan, bahkan untuk bayar bil air dan elektrik pun tak cukup duit.
"Lepas itu saya dapat GKP dan dengan wang itulah saya guna sebagai modal untuk jual kuih keria semula dan syukur apabila sektor ekonomi dibuka semula secara berperingkat, jualan kuih keria saya juga semakin melonjak," ujarnya.
Bapa kepada dua cahaya mata kembar berusia enam tahun dari Rawang, Selangor itu menjelaskan, purata jualan kuih kerianya kini melebihi 700 biji sehari berbanding sekitar 100 ke 200 biji sehari pada 2020.
Keria yang dijual pada harga RM4 sepeket (mengandungi lima biji kuih), dipasarkan di lima buah kedai sekitar Rawang selain Mohd Kamel turut menjualnya sendiri di beberapa lokasi yang menjadi tempat tumpuan ramai.
"Kuih keria yang saya buat sendiri ini sebenarnya pernah viral sebelum ini. Jadi sehingga kini saya juga kadangkala masih menerima tempahan dalam jumlah yang banyak daripada kakitangan syarikat korporat dan swasta seperti daripada kakitangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan CIMB Bank.
"Berikutan sambutan baik daripada pelanggan ini, saya rancang nak buka kedai dan nak upah tiga atau empat pembantu pada tahun depan dan saya akan mohon bantuan yang kerajaan salurkan dalam Bajet 2022," jelasnya.
Dalam pada itu, pengusaha kedai gubahan hadiah, Anrina Anthonysamy berkata, pendemik memberi tamparan besar kepadanya kerana ketika PKP 1.0 dikuatkuasakan, dia baharu setahun berniaga dan menyewa premis pada kadar sewa RM2,500 sebulan.
"Akibat pelaksanaan PKP, saya rugi teruk kerana terpaksa bayar sewa tapi kedai kena tutup. Jadi dengan wang GKP, saya guna untuk tampung bayar sewa dan jadikan modal pusingan untuk berniaga secara dalam talian.
"Ekoran PKP berlanjutan, saya akhirnya tamatkan kontrak sewaan kedai kerana tak mampu untuk terus bayar sewa yang agak mahal dan fokus berniaga 'online'. Kemudian apabila banyak sektor ekonomi dibuka selepas Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, saya pun buka kedai di tempat baharu," katanya.
Justeru itu, ujarnya, pelbagai pembiayaan perniagaan dan pinjaman mudah yang ditawarkan kerajaan dalam Bajet 2022 membuka peluang kepada usahawan muda sepertinya untuk terus mengembangkan perniagaan.
"Jualan harian kedai saya sekarang makin meningkat selepas kanak-kanak dibenarkan masuk ke pasar raya. Jadi untuk terus tingkatkan lagi jualan, saya akan mohon bantuan pembiayaan yang disediakan bawah Bajet 2022 untuk naikkan lagi jualan kedai dengan tambah stok.
"Selain itu diharapkan kerajaan juga pada masa depan teruskan pemberian GKP kerana ia amat membantu pengusaha seperti kami untuk tampung modal," katanya.