TIDAK ada ibu bapa yang ingin anaknya lahir dalam keadaan yang tidak sempurna, begitu jugalah dengan golongan orang kurang upaya (OKU) yang tidak pernah meminta agar mereka hilang upaya.
Namun segalanya telah tersurat, hanya Dia yang Maha Mengetahui tiap sesuatu yang diciptakanNya. Segalanya penuh hikmah, terdapat rahsia yang kita sendiri tidak dapat membacanya.
Sebagai manusia, kita seharusnya reda dan menerima setiap yang ditentukanNya. Oleh kerana itulah manusia dikurniakan akal untuk mengatur dan merancang kehidupan mengikut keupayaan masing-masing.
Kesedaran akan wujudnya golongan OKU dalam masyarakat seharusnya dipupuk sejak kecil lagi agar golongan tersebut tidak dipinggirkan dalam masyarakat. Oleh yang demikian unsur kasih sayang hendaklah disemai dalam diri anak-anak kecil supaya mereka tidak berasa takut atau terancam apabila mendekati golongan tersebut. Sebagai orang yang lebih dewasa, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dalam menerangkan kepada anak-anak mereka.
Antara pendekatan yang boleh diambil adalah mewujudkan satu sesi atau slot bagi tujuan tersebut. Tayangan visual dan kaedah penceritaan boleh digunakan kerana kaedah tersebut dilihat lebih dekat dan mudah diingati oleh anak-anak kecil.
Apabila kesedaran berkaitan wujudnya golongan OKU ini diberikan, ini secara tidak langsung melahirkan sifat kasih dan sayang dalam kalangan anak-anak kecil. Ini juga akan membentuk sikap suka membantu kepada mereka yang lebih memerlukan dalam diri anak-anak.
Anak-anak kecil ini akhirnya akan terbiasa dan lebih memahami keadaan golongan OKU. Ini membuatkan mereka tidak berasa takut atau terancam apabila berhadapan dengan golongan tersebut. Cuba kita meletakkan diri kita sebagai OKU dan cuba bertanyakan kepada diri sendiri tentang perasaan kita sekiranya anak-anak kecil ini takut melihat diri kita kerana berbeza dengan orang lain. Begitulah juga perasaan golongan tersebut yang akan berasa terpinggir daripada masyarakat.
Anak-anak yang diajarkan akan pentingnya rasa kasih sayang ini akan lebih menghormati hak orang lain. Secara tidak langsung, hak golongan OKU akan lebih terjaga dan dihormati. Tidak ada lagi salah guna kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk golongan tersebut.
Tidak perlu lagi meletakkan kon di tempat letak kenderaan OKU bagi menghalang pemandu bukan OKU meletakkan kereta mereka dan tidak ada lagi kes OKU yang terlepas membuang air kecil atau besar di luar tandas akibat tandas OKU yang berkunci. Malah, kerajaan juga dapat mengurangkan kos penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan golongan OKU.
Dalam memupuk kesedaran berkaitan kewujudan OKU dalam kalangan anak-anak, orang dewasa khasnya ibu dan bapa amatlah memainkan peranan. Ini kerana ibu dan bapa merupakan idola dan contoh terdekat kepada anak-anak mereka.
Anak-anak sering kali meniru apa sahaja yang mereka lihat tentang perlakuan dan perbuatan orang dewasa. Oleh itu, adalah penting orang yang lebih dewasa menunjukkan contoh yang baik buat anak-anak.
Pendidikan amatlah penting dalam pembentukan sikap anak-anak. Melalui pendidikan awal inilah, sifat kasih sayang boleh disemai. Ini secara tidak langsung dapat mengajar anak-anak untuk lebih bertanggungjawab dan menghormati hak orang lain termasuklah hak golongan OKU, seperti mana pepatah melentur buluh biar daripada rebungnya.
Namun begitu, dalam membentuk perasaan kasih dan sayang ini, ibu bapalah seharusnya menunjukkan contoh terlebih dahulu.
* Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Tinggi