Dua tekong, 30 awak-awak Vietnam didenda RM12.6 juta

Iklan
Sebahagian nelayan Vietnam yang didenda kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara. - Foto ihsan Maritim Pahang

KUANTAN - Dua tekong bersama 30 awak-awak bot nelayan Vietnam didenda dengan jumlah keseluruhan RM12.6 juta kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Hukuman denda melibatkan dua kes berasingan itu diputuskan dalam Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, dalam keputusan salah satu kes, seorang tekong bot nelayan Vietnam didenda RM3 juta manakala 12 awak-awak didenda RM300,000 setiap seorang selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan itu.

Menurutnya, hukuman ke atas tekong, Nguyen Tan Sanh, 32, dan 12 awak-awak berusia 21 hingga 49 tahun itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Siti Aminah Ghazali.

Iklan

"Semua tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 membabitkan awak-awak jika sabit kesalahan.

"Kesalahan itu dilakukan di kedudukan kira-kira 36 batu nautika tenggara Kuala Pahang pada 3 Oktober tahun lalu.

Iklan

"Berdasarkan keterangan kes, bot yang ditahan merupakan bot pembekal (Mother Ship) yang tidak daftarkan di negara ini dengan membawa bekalan makanan dan hasil laut dalam perairan negara tanpa kebenaran," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Amran berkata, dalam satu lagi kes, Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan tekong bot nelayan Vietnam, Pham Chi Dung, 55, didenda RM600,000 manakala 18 awak-awak didenda RM300,000.

"Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

"Bot tersebut ditahan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kedudukan kira-kira 29 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada 5 Jun lalu sebelum kes diserahkan kepada Maritim Negeri Pahang untuk tangkapan semula," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam keputusan kedua-dua kes itu, mahkamah turut memerintahkan bot terlibat, bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM3.5 juta dan hasil laut yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tambahnya, keputusan itu satu kejayaan kepada Maritim Malaysia dalam usaha berterusan mengekang pencerobohan nelayan asing Vietnam daripada terus berleluasa mengaut hasil laut negara.

"Maritim Malaysia sentiasa berusaha memastikan perairan negara selamat dan bebas daripada kegiatan pencerobohan nelayan asing.

"Kami akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri serta dirompak nelayan asing," ujarnya.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.