BERA - Majlis Khatan Perdana Parlimen Bera menjadi detik istimewa buat 350 kanak-kanak apabila turut diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan program tersebut pada Ahad.
Peserta berusia antara lima hingga 12 tahun terdiri pelbagai kaum itu menyertai acara tahunan di Dewan Padang Luas di sini turut bertuah kerana tidak dikenakan sebarang bayaran yang ditanggung sepenuhnya oleh Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.
Bagaimanapun aktiviti semburan air oleh pihak bomba pada tahun ini tidak dijalankan seperti kebiasaannya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Dalam ucapan perasmiannya, Ismail Sabri memberitahu, penganjuran program itu selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
"Terima kasih kepada ibu bapa yang terus menyokong program anjuran Pemuda UMNO Bera ini yang mana pada hari ini bukan sahaja berkhatan tetapi sumbangan topi keledar turut diberikan kepada kanak-kanak.
"Melalui program ini kita dapat bersama-sama merapatkan hubungan sesama kita melibatkan pelbagai kaum selaras dengan konsep Keluarga Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan 18 mudim yang bertugas sempena program tersebut menitikberatkan keselamatan diri dan juga peserta terlibat.
"Jika penat, mudim bertugas perlu berehat seketika sebelum menyambung kembali tugas masing-masing," ujarnya.
Pada majlis itu, sebanyak 2,000 topi keledar kanak-kanak turut diagihkan secara percuma hasil sumbangan MyPerintis.