Menjejaki Bukit Mabong-Tunoh, legasi Masing di Baleh

Iklan
Mendiang Tan Sri Dr James Masing

KAPIT - Perjalanan hampir empat jam menaiki kenderaan pacuan empat roda menempuh jalan balak menuju ke Tunoh, satu kawasan terpencil di daerah Bukit Mabong, Kapit, barangkali boleh diibaratkan seperti menaiki roller coaster.

Melalui jalan berbatu sepanjang hampir 50 kilometer (km) yang sedikit berdebu namun diselenggara dengan baik dan bengkang-bengkok itu, membuatkan penulis sering memaut erat pemegang kenderaan itu kerana terumbang-ambing dan melantun ketika duduk di tempat duduk penumpang belakang.

Iklan
Iklan

"Ini ialah persimpangan ke rumah panjang mendiang James Masing (Tan Sri Dr James Masing),” kata David Eden, 40, pemandu yang sempat menunjukkan persimpangan ke Rumah Melinggang, Mujung Kapit, tempat lahir dan membesarnya bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu sewaktu melalui jalan berkenaan.

Keindahan di Tunoh ibarat satu pakej lengkap, berlatarbelakangkan sebuah bukit tersergam indah dinamakan Bukit Mabong, air terjun, selain kelihatan beberapa rumah panjang Iban yang dibina sepanjang Sungai Tunoh, aliran air jernih nan sejuk. Dikatakan penduduknya mula berhijrah ke kawasan itu dari Sungai Melinau, Baleh pada 1972.

Iklan

Terletak kira-kira 100km dari pekan Kapit, Tunoh, berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh dengan populasi kira-kira 2,000 penduduk, merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Bukit Mabong yang sedang rancak dibangunkan.

Sudah pasti ia atas jasa mendiang Masing yang merupakan ADUN di kawasan itu sejak 1983 sehingga meninggal dunia pada usia 72 tahun 31 Oktober lepas.

Iklan

Pegawai Daerah Bukit Mabong, Robert Liman, berkata Tunoh yang terletak di utara Baleh dan dahulunya hanyalah sebuah kawasan hutan tebal, kini turut memiliki bekalan elektrik, air paip, klinik, sekolah, rumah rehat kerajaan, stesen pertanian dan tidak lama lagi, Pejabat Daerah Bukit Mabong yang ketika ini berada di Kapit, akan dipindahkan ke Tunoh.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Khas kepada Masing selama 11 tahun menjadi saksi kepada kesungguhan Masing dan kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan itu yang dahulunya terasing dari pekan Kapit, melalui pelbagai usaha meliputi akses perhubungan seperti jambatan dan jalan raya yang telah dan sedang dilaksanakan.

Ia antara lain menerusi projek jalan akses ke Empangan Baleh bermula dari Jambatan Nanga Mujong sepanjang 73km, Jalan raya Nanga Sepanggil/Tunoh, pembinaan Jambatan Batang Baleh, Jambatan Sungai Banyau, Sungai Mujong dan Jambatan Sungai Merirai.

"Dengan wujudnya Jambatan Baleh, banyak pembangunan akan dibuat di Baleh terutama di Bukit Mabong dan sudah pasti akan memendekkan masa perjalanan,” katanya, sambil menambah majoriti penduduk di kawasan itu berbangsa Iban.

Ketika ditemui Bernama, Robert berkata, usaha Masing itu disebabkan beberapa faktor utama seperti potensi pertanian dengan keluasan tanah hampir 40,000 hektar yang amat subur sesuai untuk penanaman padi dan kelapa sawit, selain potensi ekopelancongan dengan keindahan alam semula jadi di kawasan itu.

Disebabkan itu, katanya, mendiang turut mengilhamkan pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bukit Mabong, yang walaupun pada awalnya menimbulkan persoalan kerana tidak dibina di Kapit, namun akhirnya ramai pihak menyedari signifikan di sebalik pembinaan dengan kos hampir RM200 juta itu.

Jelasnya ini kerana lapangan terbang yang dijangka siap 2023 dan untuk pesawat penumpang Twin Otter dan pesawat Cessna 208 dengan muatan tiga tan itu, antara lain bertujuan mengangkut keluar hasil tanaman di kawasan itu yang dicadangkan dijadikan sebagai pusat pertanian komersial.

"Sebelum Tan Sri (James Masing) meninggal, dia ada bagitahu saya mahu naik taraf Tunoh sebagai pusat pertanian secara komersial supaya apabila lapangan terbang ini siap orang tidak tertanya-tanya kenapa ia di buat di sini, Tan Sri ada suruh saya pantau perkara ini,” katanya dan menambah kerja pembinaan lapangan terbang kira-kira 20 minit dari Tunoh itu sedang giat berjalan.

Robert berkata pembinaan lapangan terbang itu juga, seperti menurut Masing sebelum ini, adalah bagi bertujuan memperkukuh keselamatan sempadan negeri itu khususnya Bukit Mabong, antara kawasan yang hampir dengan Kalimantan, lokasi yang dicadangkan untuk pembinaan ibu kota Indonesia yang baharu.

Ia bagi membolehkan pasukan keselamatan dibawa masuk ke Kapit bagi menjaga Tunoh, yang terletak di tengah-tengah tiga aset besar Sarawak, iaitu Empangan Bakun, Murum dan Baleh, sejajar cadangan pembinaan pos kawalan sempadan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan kawasan berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini, DUN Baleh, satu daripada lima DUN terbesar di Sarawak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nicholas Kudi Jantai Masing daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan dicabar oleh Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (Parti Bumi Kenyalang) dan Koh Anak Kumbong mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB). - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my