KOTA BHARU - Peniaga kecil di negeri Kelantan diberi peluang berniaga secara percuma selama sebulan di Platinum Mall di sini yang merupakan salah satu gedung mewah di negeri ini.
Peluang itu diberikan oleh Tekun Corporation Sdn Bhd dalam usaha merancakkan semula ekonomi peniaga kecil serta memperkenalkan gedung tersebut kepada penduduk Kelantan.
Seorang peniaga, Roslan Mustafa, 52, berkata, dia sangat teruja selepas diberikan peluang untuk berniaga di kawasan tersebut yang disifatkan cukup selesa dan strategik.
"Sebelum ini, saya berniaga di pasar tani dan sejak Covid-19 perniagaan merosok.
"Saya hanya bergantung kepada perniagaan melalui 'online' di Facebook dan WhatsApp, namun bila dapat peluang berniaga di Platinum Mall saya terus membuat keputusan untuk mencubanya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Niaga Platinum Mall di sini pada Ahad.
Penyerahan kunci kepada peniaga itu disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Tekun Corporation Sdn Bhd Kelantan, Wan Mohamed Kasbi Wan Mahmood.
Roslan berkata, peluang tersebut direbut bagi membuka lembaran baharu dalam hidupnya selepas tidak dapat berniaga di pasar tani seperti sebelum ini.
Katanya, mahu menaik taraf perniagaan bagi memberikan lebih motivasi untuk berjaya pada masa hadapan.
Seorang lagi peniaga, Sajid Hassan, 49, juga akan menggunakan peluang yang ada ini sebagai tempoh percubaan untuk menguji kemampuan pasaran di sini.
"Sebelum ini, saya berniaga di Wakaf Che Yeh, jadi dengan ruang yang lebih selesa itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencuba nasib di Platinum Mall," katanya.
Sementara itu, Wan Mohamed Kasbi berkata, gedung tersebut sudah dibuka pada tahun 2019 lalu, namun terpaksa ditutup akibat penularan pandemik Covid-19.
"Alhamdulillah gedung ini kembali dibuka selepas kerajaan membenarkan semua sektor beroperasi.
"Setakat ini, 70 peniaga kecil sudah bersetuju untuk berniaga di sini dan kita akan perhebatkan lagi promosi dalam membantu merancakkan lagi jualan di Platinum Mall," katanya.