LUMUT - Perasaan risau seorang lelaki selepas gagal menghubungi isterinya terungkai apabila wanita itu ditemukan meninggal dunia di Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Ahad.
Difahamkan mangsa berusia 68 tahun itu tinggal berasingan dengan suaminya kerana menjaga ibunya berusia 80-an yang uzur dan terlantar.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Firdaus Mohd Ziker berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.16 pagi.
Menurutnya, lelaki terbabit memaklumkan pintu rumah ibu mentuanya dalam keadaan berkunci dan mangsa tidak menyahut apabila dipanggil.
"Bomba bertindak dengan segera mengumpil pintu rumah dengan menggunakan peralatan khas selepas mendapat kebenaran daripada pihak polis.
"Mangsa ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik air. Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, ibu mangsa yang dilihat dalam keadaan tidak bermaya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 10.30 pagi," katanya.