KOTA BHARU - Nasib empat beradik yang tercicir persekolahan akibat bapa mereka menghidap penyakit gout kronik di Rantau Panjang akhirnya terbela apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan bulanan berjumlah RM800 kepada keluarga itu.
Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, keluarga Sharir Mat Ya, 59, akan menerima bantuan kewangan berkenaan tahun depan.
"Pegawai JKM sudah melakukan siasatan dan mendapati penama layak untuk menerima bantuan.
"Bantuan kanak-kanak secara bulanan berjumlah RM800 akan mula diberikan pada 1 Januari 2022,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya sudah berbincang dangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengatasi isu keciciran persekolahan empat beradik tersebut yang berusia antara 11 tahun sehingga 17 tahun supaya mereka dapat kembali ke sekolah.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kisah pilu sebuah keluarga di Kampung Bukit Pak Junoh, Rantau Panjang itu hingga mendapat perhatian pihak berwajib dan badan bukan kerajaan (NGO).
Empat daripada 12 beradik yang tercicir persekolahan itu ialah Noorrisha Farhanis, 17, yang terpaksa berhenti setakat Tahun Enam, Muhammad Danny El Ashrar, 14, (sekolah setakat Tahun Empat), Muhammad Ferris Haikal, 12, (setakat Tahun Tiga) dan Iyzreen Syafiqa Hazwany, 11, (setakat Tahun Dua).