PM tinjau jualan Keluarga Malaysia di Bera

Iklan
Ismail Sabri (depan; dua dari kanan) melawat gerai jualan yang terdapat pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung di Jalan Centre Triang hari ini. Foto Bernama

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa meninjau harga barang di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung di Jalan Centre Triang, di sini pada Ahad.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera hadir pada jam 1.20 tengah hari dan meluangkan masa lebih setengah jam bertanya khabar serta beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain berkunjung ke gerai jualan, beliau turut beramah mesra dengan petugas kerajaan yang turut mengambil bahagian membuka kaunter e-perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pejabat Kesihatan Daerah bagi pendaftaran suntikan dos penggalak.

Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Jelaha Md Lela, 54, yang hadir sejak pagi bagi membeli pelbagai barang dengan harga rendah berkata, peluang seumpama ini sememangnya dinantikan olehnya yang berniaga kuih secara kecil-kecilan bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Iklan

Ibu kepada lapan anak itu berkata, dia berkesempatan membeli minyak dan tepung bagi membuat kuih keria serta buah melaka untuk diletakkan di gerai di Kampung Kuala Triang, di sini.

"Saya dapat beli tepung dengan harga RM1.35 bagi sekilogram berbanding di kampung dijual hampir RM2 manakala minyak masak saya dapat RM2.50 yang murah sekitar 20 sen daripada kebiasaannya,” katanya yang berterima kasih di atas inisiatif kerajaan itu.

Iklan

Bagi kakitangan kerajaan, Nor Nazirah Ab Razak, 26, yang berkunjung ke program berkenaan bersama ibunya, Hairah Lasa, 66, bagi mendapatkan keperluan asas seperti ayam, tepung dan beras dapat dibeli dengan harga murah berbanding di kedai sekitar Felda Sebertak di sini, kira-kira 20 kilometer dari lokasi penganjuran program.

"Harga boleh dikatakan rendah sedikit berbanding di tempat biasa. Saya rasa berbaloi kalau kita beli pelbagai barang terus misalnya kalau saya beli di luar barang-barang sama harga mesti melebihi RM100 tetapi hari ini dapat dalam RM90," katanya.

Pelaksanaan program Jualan Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 2 Disember lalu oleh Ismail Sabri, diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna dalam kalangan berpendapatan rendah.

Program ini menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat. - Bernama