MBNJ cadang gantung sementara kilang kimia

Iklan
Md Salleheen

JOHOR BAHRU - Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) amat kesal dengan kejadian pencemaran berulang yang berlaku di Pasir Gudang, sehingga membawa kepada penutupan sekolah serta membabitkan ratusan orang menerima kesan.

Presidennya, Md Salleheen Mohamad berkata, meskipun kejadian telah berlaku beberapa hari lalu, namun kerajaan negeri masih belum dapat membuat keputusan yang positif terhadap perkara itu.

Iklan
Iklan

"MBNJ mempunyai keyakinan yang tinggi pencemaran itu datang dari pemilik kilang yang mempunyai barang buangan berjadual kerana ia melibatkan kuantiti yang amat banyak sehingga memudaratkan kitaran kehidupan di Pasir Gudang.

"MBNJ mencadangkan agar kerajaan negeri membuat keputusan menggantung sementara operasi 30 buah kilang kimia di sekitar Pasir Gudang sehingga Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dapat mengenalpasti dalang sebenar yang menyebabkan kehidupan penduduk Pasir Gudang terjejas," katanya di sini hari ini.

Iklan

Md Salleheen berkata, setelah JAS Johor membawa dalang tersebut kemuka pengadilan, kerajaan negeri barulah mempertimbangkan sekali lagi permohonan kilang-kilang kimia tersebut serta mengenakan syarat tambahan bagi barang buangan berjadual di masa hadapan.

Katanya, penutupan sementara operasi itu amat penting bagi membolehkan usaha pemulihan semula sungai yang tercemar dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Johor serta Badan Kawalan Air Johor (BAKAJ).

Iklan

"Kerajaan negeri juga diminta agar dapat mengarahkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran membuat rondaan pengawasan pencemaran di kawasan industri dengan lebih kerap dan memperketatkan lagi ISO pemeriksaan ke kilang berisiko tinggi.

"Semua usaha kawalan dan penguatkuasaan memerlukan kerjasama semua jabatan negeri dan persekutuan terutama di Pasir Gudang kerana kawasan tersebut memang terkenal sebagai kawasan Perindustrian," katanya.

Beliau berkata, semua usaha tersebut bagi membolehkan penduduk setempat berasa selamat dan mendapat jaminan agar perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi.