Pasar percuma bantu 229 keluarga penghuni pangsapuri

Iklan
Penghuni di Pangsapuri Sri Melewar Taman TTDI Jaya, di sini mengambil barangan basah di stesen-stesen yang menempatkan barang tertentu seperti ayam, ikan, sayur dan lain-lain. (Gambar kecil: Nurafizah)

SHAH ALAM - Sebuah agensi bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) menganjurkan program Al-I'tisam Free Market 1.0 di Pangsapuri Sri Melewar, Taman TTDI Jaya, di sini pada Ahad yang memanfaatkan sekitar 229 keluarga yang tinggal di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-I'tisam, Mohd Shah Sapie berkata, program tersebut diadakan julung kali untuk membantu masyarakat terutamanya golongan B40 yang terkesan akibat peningkatan harga barang keperluan asas sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut menyumbangkan sebanyak 11 jenis barangan basah seperti sayur, ikan, ayam, dan lain-lain serta diberikan kepada keluarga yang dikenalpasti oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut.

Mohd Shah

Selain pihak JMB pangsapuri berkenaan, program tersebut turut dijayakan dengan tajaan daripada syarikat korporat dan para penderma yang menyumbang kepada NGO tersebut.

Iklan

"Program ini adalah respons kita kepada kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini dan ia menjadi tanggungjawab kita untuk membantu ringankan beban mereka.

"Kita dah merancang untuk mengadakan program ini di beberapa kawasan terutamanya di Lembah Klang, terutamanya keluarga B40.

Iklan

"Jadi kita akan memfokus kepada golongan tersebut yang tinggal di kawasan bandar, sekurang-kurangnya ia dapat memberi kelegaan kepada mereka," katanya ketika sidang media semasa program tersebut di Pangsapuri Sri Melewar, Taman TTDI Jaya, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Pengerusi JMB Pangsapuri Sri Melewar, Dr. Jumain Amborashang menyambut baik penganjuran program tersebut yang dilihat mampu membantu ringankan beban penghuni-penghuni pangsapuri tersebut.

Beliau berharap NGO lain dapat melaksanakan program seumpama itu untuk terus membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya semasa pandemik Covid-19.

"Penduduk di sini memang sangat memerlukan bantuan, oleh itu, sebelum ini kami telah mengedar sebanyak 400 bungkusan bakul makanan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Al-I'tisam dan para penaja yang menganjurkan program ini dan berharap agar NGO lain dapat menjalankan program seumpamanya di samping membantu masyarakat," katanya.

Salah seorang penghuni yang menyertai Program Free Market 1.0 Al-I'tisam, Roslinda Sandi, 47, memuji pelaksanaan program tersebut yang membantu dia sekeluarga berikutan peningkatan harga barangan keperluan baru-baru ini.

Sebagai seorang ibu tunggal, dia berharap program tersebut dapat diperluaskan ke kawasan lain kerana ia sangat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya yang berpendapatan rendah sepertinya.

"Sekarang ini harga barang mahal, jadi memang bagus program sebegini dibuat dan saya memuji usaha NGO yang mengadakan inisiatif seperti ini.

''Saya berharap program ini dapat diperluaskan di kawasan-kawasan lain kerana ia sangat memberi manfaat kepada penduduk," katanya yang bekerja sebagai kerani.

Penghuni lain, Nurafizah Kungoing, 26, turut bersyukur dan teruja dengan penganjuran program tersebut yang membantu menampung perbelanjaan mingguan keluarganya.

Katanya, ia juga meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai seorang kontraktor pernah terjejas pendapatannya akibat PKP apabila bekerja tanapa gaji.

"Pendapatan suami terjejas, kadang-kadang gaji lambat masuk, ada juga masanya dia tidak dapat gaji.

"Jadi bila ada program sebegini, saya teruja kerana ia dapat mengurangkan kos mingguan membeli barangan keperluan," katanya.