Faizal mohon maaf

Iklan
Faizal disahkan positif Covid-19 sebelum skuad hoki negara berlepas ke Dhaka.

PENYERANG berbisa, Faizal Saar tampil memohon maaf selepas disahkan positif Covid-19 sehingga mengakibatkan skuad hoki senior lelaki negara tidak dapat menyertai Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 22 Disember ini.

Faizal yang disahkan positif Covid-19 pada 8 Disember lalu tidak mengalami sebarang gejala mahupun simptom jangkitan Covid-19, mengambil tanggungjawab atas kesulitan yang dialami skuad The Speedy Tigers yang kini perlu menjalani proses kuarantin selaku kontak rapatnya.

Iklan
Iklan

"Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pasukan dan pihak pengurusan terutamanya Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dan semua sekali yang turut terlibat.

"Saya mohon maaf disebabkan saya disahkan positif Covid-19, pasukan tidak dapat mengambil bahagian dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia. Saya minta maaf juga kerana meletakkan pasukan dalam situasi ini.

Iklan

"Apa yang berlaku bukan sesuatu yang saya inginkan tetapi disebabkan ianya terjadi, saya mengambil tanggungjawab ini. Disebabkan saya, pasukan tidak dapat ke Bangladesh dan itu yang saya paling terkesan kerana melibatkan pasukan.

"Saya juga telah sebaik mungkin mengikut semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan namun tetap dijangkiti Covid-19 kerana virus ini sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Iklan

"Sekali lagi saya betul-betul minta maaf dan saya akan cuba berfikiran positif untuk menghadapi situasi ini. Saya tidak pasti dari mana jangkitan ini saya dapat.

"Kini saya perlu menjalani proses kuarantin selama 10 hari sebelum membuat ujian calitan sekali lagi. Saya berharap ujian calitan yang akan datang semuanya baik-baik sahaja,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KHM pada Ahad.

Pada Sabtu, KHM telah mengesahkan Speedy Tigers tidak akan beraksi pada ACT 2021 di Dhaka ekoran salah seorang pemain disahkan positif Covid-19.

Selaku badan induk hoki negara, KHM terpaksa akur dengan arahan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal pandemik Covid-19 di negara ini untuk skuad negara menarik diri daripada menyertai kejohanan berkenaan.