JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pihak perunding yang menjalankan kerja-kerja reka bentuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti di Muar, menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan berhubung kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah blok sekolah berkenaan.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dan laporan itu juga termasuk mengenai keselamatan kerja bumbung di blok bersebelahan.
"KPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar juga mengarahkan pihak perunding dan kontraktror, mengambil tindakan pembaikan dengan segera setelah siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan blok-blok yang terlibat dapat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka," menurut kenyataan itu pada Ahad.
KPM menjelaskan pihaknya dan JKR Daerah Muar telah membuat siasatan dan mendapati struktur bumbung masih dalam pembinaan serta belum ditutup sepenuhnya.
"Angin kuat semasa kejadian telah memasuki struktur bumbung yang dalam keadaan separa terbuka telah menjadi punca kegagalan struktur bumbung di blok Meranti," menurut KPM.
Jelas KPM, kerja-kerja menaik taraf bumbung sekolah dan penyelenggaraan bangunan serta lain-lain kerja berkaitan di SMK Seri Menanti dilaksanakan melalui perolehan secara sebut harga oleh JKR Daerah Muar selaras dengan peraturan perolehan yang berkuat kuasa.
KPM memaklumkan, JKR Daerah Muar telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan di sekolah berkenaan bermula dari 16 Ogos tahun ini dan dijangka siap bulan depan.
Pada Sabtu, media melaporkan bumbung sebuah blok di SMK Seri Menanti runtuh dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika sesi persekolahan dan semua pelajar sedang menjalani waktu rehat. - Bernama