PERSATUAN Muaythai Malaysia akan menghantar atlet negara menjalani latihan di Bangkok, Thailand sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tahun depan yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.
Presidennya, Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata, berikutan ketiadaan sebarang pertandingan dan kejohanan ekoran pandemik Covid-19, pada kali ini tiada sesi pemilihan awal atlet bagi menghadapi temasya sukan berkenaan.
Justeru, beliau berkata, pemilihan atlet untuk Sukan SEA Hanoi akan berdasarkan kepada prestasi mereka pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di Bangkok yang berakhir pada Sabtu.
"Kita kesuntukan masa untuk pemilihan atlet kerana hanya tinggal lima bulan sebelum temasya Sukan SEA. Saya akan hantar mereka ke sini (Thailand) untuk latihan pasukan kebangsaan,” katanya pada Ahad.
Muhammad Shahnaz berkata, atlet kebangsaan perlu menjalani latihan di luar negara agar dapat pendedahan dan menimba pengalaman sekali gus meningkatkan prestasi masing-masing.
"Selain itu, kita juga menghadapi cabaran kerana ketiadaan rakan seperlatihan khususnya untuk atlet seperti Mohammad Rifdean Masdor dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib,” katanya.
Skuad Muay Thai negara menampilkan aksi cemerlang apabila membawa pulang lima pingat emas pada Kejuaraan Muay Thai Dunia 2021.
Malaysia meraih pingat emas menerusi Mohammad Rifdean dalam kategori Bawah 23 Elite 48 kilogram (kg); Ahmad Nor Iman (Remaja 16-17 tahun, acara 51kg); Texas Jeremy Lo (Remaja 12-13; 44kg); Ahmad Akid Mohd Nazrul Hisyam (Remaja 12-13; 54kg) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Remaja 11-13; 32-36kg). - Bernama