NEW DELHI - Seorang nenek di Kerala, India lulus ujian membaca dan menulis ketika berusia 104 tahun dalam peperiksaan celik huruf peringkat negeri baru- baru ini.
Nenek itu, Kuttiyama berkesempatan untuk belajar membaca dan menulis apabila dia menyertai program celik huruf yang ditaja oleh kerajaan selepas tidak bersekolah semasa kecil kerana keluarganya miskin.
Iklan
Iklan
Dia yang berkahwin ketika berusia 16 tahun dan mempunyai lima orang anak berjaya mendapat markah 89 peratus dalam ujian celik huruf selain 100 peratus untuk ujian Matematik pada bulan lalu.
Menurut akhbar The Guardian pada minggu lalu, dia akan mengambil peperiksaan darjah empat yang pada kebiasaannya diduduki oleh murid-murid berusia sembilan tahun.
Dia yang berkahwin dengan seorang peniaga herba akan mengambil peperiksaan dalam bahasa Malayalam, Inggeris, Matematik dan Alam Sekitar.
Nenek yang mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan mendapat bimbingan daripada seorang jirannya, Rehana John yang membantunya melakukan persediaan untuk mengambil peperiksaan celik huruf itu.
Sejak dibimbing oleh Rehana, Kuttiyama boleh membaca keseluruhan perenggan berbanding hanya beberapa ayat mudah sebelum ini. - Agensi