TANGGAL 18 Mac 2020 menjadi sejarah kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjadi pendorong kuat bagi seorang usahawan muda dari Kampung Kelantan, Muar untuk bangkit meraih pendapatan yang lumayan dengan menjual produk bertih jagung dengan jenama Popcorn Diraja.
Menurut, Muhammad Fithri Hidzir, 27, dia tekad untuk melakukan secara sepenuh masa dalam perniagaan itu apabila sukar mencari kerjaya tetap selepas tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Dakwah Kepimpinan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2019.
Katanya, dia tidak mendapat sebarang peluang untuk bekerja malah terpaksa mencuba pelbagai kerja lain sebelum mengambil keputusan untuk berniaga sendiri.
"Saya mula pada Mac 2020, yang mana saya adalah pengasas bersama untuk produk bertih jagung bersama adik ketiga saya, Aida Syahirah Hidzir, 26, dan suaminya Muhammad Fahmi Ngarif, 29. Pada mulanya agak sukar kerana tidak tahu untuk menjual apa sehingga satu hari idea mengenai bertih jagung ini muncul.
"Bila dapat idea ini, kami mula lakukan pelbagai eksperimen dan kajian, kebanyakannya adalah melalui media sosial dan sebagainya. Pada permulaan syarikat kami juga mengalami kerugian lebih RM2,000 ketika mahu mencari resipi terbaik.
"Sementara nama produk kami ambil sempena Muar yang merupakan Bandar Diraja kerana kami mahu kenang asal-usul kami daripada bandar ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya di Pusat Perniagaan Sinar Bakri, Muar di sini pada Sabtu.
Muhammad Fithri berkata, dia memilih produk bertih jagung kerana berpendapat bahawa produk itu merupakan snek ringkas dan boleh diterima pelbagai lapisan usia terutama kanak-kanak.
"Bertih jagung amat disukai semua orang, cuma kita kena fikir macam mana nak bersaing dengan jenama-jenama besar yang memang dah stabil di pasaran utama. Jadi kami belajar lagi untuk jadikan ia lebih istimewa berbanding produk lain seperti cara penghasilan, bahan digunakan dan juga kualiti jagung itu sendiri.
"Masa kami mula-mula berniaga, faktor PKP juga memainkan peranan, ketika ini orang kebanyakannya berada di rumah, menghabiskan masa di hadapan televisyen dan ketika inilah fokus kami untuk menjual,” katanya.
Bagaimanapun, anak sulung daripada empat adik beradik itu pernah terfikir untuk berputus asa pada enam bulan awal perniagaan kerana gagal mencari rentak dan sasaran jualan yang ingin dicapai.
"Pernah terfikir juga untuk mengalah, kerana bersaing dan berniaga itu memang susah namun situasi PKP terus kuatkan saya dan bertahan. Ketika inilah saya mula cari inisiatif mengambil kursus dan sijil dalam pemasaran dalam talian. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar."Perniagaan kami selepas itu mulai stabil dan bersistem. Ketika itu mulai berfikiran lebih luas dan sasarkan jualan produk di seluruh negara dengan melantik lebih 20 stokis,” jelasnya.
Hasil daripada kerja keras hampir dua tahun itu, mereka meraih jualan sehingga RM 100,000 dengan pulangan bersih sehingga RM40,000.
"Walaupun dengan pulangan yang ada, saya akui masih baharu lagi dan banyak perlu perbaiki, harapan saya untuk pastikan perniagaan terus bertahan dan boleh membantu lebih ramai lagi,” katanya.