SEJAK Jumaat lalu heboh diperkatakan mengenai kes pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar Perak yang memukul pelajar lain.
Video tular itu menjadi tontonan ramai dan rata-ratanya mengutuk tindakan tersebut yang disifatkan tidak wajar dilakukan kerana tidak berperikemanusiaan.
Memukul orang yang lemah dan dilakukan secara berkumpulan adalah tindakan pengecut. Tambahan pula dilakukan oleh pelajar-pelajar yang bijak pandai.
Sehingga kini, polis sudah mengambil keterangan pelajar terlibat dan motif tindakan tersebut masih lagi dalam siasatan.
Mereka yang terlibat sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pihak MRSM pula telah mengambil langkah segera dengan menggantung persekolahan mereka dan sudah ada cadangan daripada pentadbir MRSM untuk terus menyingkir pelaku daripada institusi pengajian berkenaan.
Maka sudah pasti, masa depan pembuli terlibat agak mencabar kesan daripada tindakan mereka yang tidak berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan tersebut.
Umur masih muda, masa depan masih jauh tetapi dirosakkan oleh tindakan sia-sia yang menghancurkan hati terutama ibu bapa yang sehabis daya mahu anak masing-masing berjaya dalam hidup mereka.
Oleh itu, seharusnya kisah-kisah buli yang berlaku sebelum ini perlu diberi penekanan tegas dan berterusan agar ia tidak berulang kerana impak daripada perbuatan tersebut akan menyebabkan ramai yang bergenang dalam air mata.
Pihak sekolah perlu melipatgandakan usaha untuk memupuk kesedaran supaya pelajar lebih peka dengan isu itu supaya kes-kes sebegini dapat dihindarkan daripada terus berlaku.
Kempen kesedaran mengenai kes buli perlu dipertingkatkan lagi terutama melibatkan golongan pelajar yang dilihat mempunyai kecenderungan untuk bertindak di luar batasan.
Sama-sama kita memelihara sekolah dan asrama daripada anasir yang boleh merosakkan peranannya sebagai gedung ilmu.