PENYERANG Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe menjadi pemain termuda dalam sejarah Ligue 1 yang berjaya menjaringkan 100 gol untuk satu pasukan apabila mencetak dua jaringan ketika menang 2-0 menentang kelab lamanya, Monaco di Parc des Princes pagi tadi.
Pada perlawanan tersebut, Mbappe membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum meraih gol kedua hasil bantuan Lionel Messi untuk meraih gol ke-100 dalam liga utama Perancis sejak berpindah ke PSG pada 2017.
Kemenangan itu membolehkan PSG gah di puncak Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata berbanding pencabar terdekat Marseille yang turut berjaya merekodkan kemenangan 2-0 keatas Strasbourg.
"Ia adalah persembahan yang profesional dan kami berhak untuk menang. Kylian (Mbappe) sekali lagi mempamerkan aksi yang sangat luar biasa.
"Kami sangat gembira dengan keputusan kami, tetapi kami boleh meningkatkan prestasi kami," kata Pochettino.
Dalam pada itu Mbappe berkata, akan terus memberikan segala yang dia miliki untuk membantu PSG meraih lebih banyak gelaran sebelum kalendar musim ini tamat.
"Saya suka bermain. Jadi ia adalah satu keseronokan untuk dapat bermain semula hari ini, dapat membantu pasukan saya.
"Saya berharap untuk dapat meneruskan rentak seperti ini untuk baki perlawanan yang tinggal sebelum kalendar musim ini berakhir,” katanya.