KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima 101 permohonan daripada agensi kerajaan untuk membuka taman asuhan kanak-kanak (taska) di premis masing-masing, kata Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.
Beliau berkata, jumlah itu diterima sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 24 Jan hingga 7 Feb lalu bagi memanfaatkan peruntukan berjumlah RM10 juta yang disediakan untuk mewujudkan tambahan 50 taska di premis kerajaan.
Iklan
Iklan
"Kami dapati ada 501 agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai pusat asuhan di tempat kerja,” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Yeoh juga berkata sehingga Januari lalu, sebanyak 4,466 taska berdaftar dengan kementeriannya.
Menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) mengenai cadangan pembinaan taska di bangunan Parlimen, Yeoh berkata pihaknya masih menunggu kertas cadangan permohonan daripada pihak Parlimen.
"Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada berjumpa Speaker dan menyatakan Parlimen ini tempat undang-undang digubal dan ini mesej penting untuk seluruh Malaysia melihat tempat penggubalan undang-undang ada infrastruktur untuk galakkan golongan wanita jadi wakil rakyat,” katanya.
Berhubung gaji minimum RM1,200 kepada pengasuh yang turut memberi kesan kepada kos bulanan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menghantar anak ke taska, Yeoh berkata pihaknya sedar mengenai perkara itu dan Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti perkara berkenaan. -Bernama