Lebih 156 bilion dibelanja untuk pakej bantuan, rangsangan ekonomi

Iklan
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM156.18 bilion daripada RM225 bilion yang diperuntukkan menerusi empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi telah dibelanjakan setakat 30 November 2021 bagi merangsang semula ekonomi negara, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, pakej berkenaan meliputi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pemerkasa Tambahan dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, berikutan pelaksanaan pakej berkenaan, trend pemulihan ekonomi telah dapat dilihat apabila ekonomi negara berkembang tiga peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya kebenaran merentas negeri dan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi serta penyambungan semula kebanyakan aktiviti sosial di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut membantu mengembangkan ekonomi negara.

Iklan

"Susulan kemajuan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah meningkatkan permintaan domestik serta mendorong sentimen positif dalam kalangan perniagaan dan juga pengguna dengan membantu rakyat yang terjejas selain memastikan kelangsungan perniagaan.

"Indeks sentimen pengguna contohnya telah melonjak kepada 101.7 mata pada suku ketiga 2021 berbanding 64.3 mata pada suku tahun sebelumnya," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris mengenai sejauh mana empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih telah merangsang semula ekonomi negara. - Bernama