ALOR SETAR - Polis Kedah memperolehi kutipan saman sebanyak RM7.41 juta dalam tempoh empat hari tawaran diskaun saman trafik dilaksanakan sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, nilai kutipan itu membabitkan 143,524 saman trafik atas pelbagai kesalahan yang berjaya dilunaskan orang ramai bermula Khamis sehingga Ahad.
Menurutnya, orang ramai masih berpeluang membayar saman tertunggak di semua kaunter bayaran saman trafik seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini susulan tempoh tawaran diskaun yang dijadual berakhir pada Ahad, dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
"Jumlah keseluruhan saman trafik yang dikutip setakat Ahad adalah sebanyak RM7,417,030 dari semua IPD negeri ini sejak Khamis.
"Orang ramai masih boleh membuat bayaran di kaunter bayaran di IPD masing-masing atau melalui aplikasi MyBayar Saman atau menerusi ATM (mesin juruwang automatik) Maybank bagi mengelak kesesakan ketika mengunjungi kaunter saman,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Isnin.
Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai agar mengambil peluang yang ditawarkan ini untuk melunaskan tunggakan saman sebelum tempoh berakhir 31 Disember ini.
"Bayarlah sekarang. Jangan tunggu di saat akhir bagi mengelak kesesakan dan sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di kaunter bayaran trafik,” katanya.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan tempoh pemberian diskaun saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini bagi mengelakkan kesesakan ketika orang ramai membuat bayaran.
Tawaran diskaun bagi kesalahan trafik melibatkan kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 bagi memberi peluang dan masa kepada orang ramai untuk membuat pembayaran.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pembayaran saman boleh dibuat di semua pejabat negeri, cawangan JPJ dan UTC JPJ di seluruh negara atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ.
Tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus dilanjutkan sehingga Rabu ini, diberikan kepada semua saman bagi kesalahan disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.
Bagaimanapun, kes dalam perbicaraan dan berstatus waran tangkap serta kes yang masih dalam tindakan senarai hitam, tidak layak mendapat pengurangan tersebut.