KUALA NERUS - Impian seorang pemuda untuk memiliki rumah sendiri sejak lapan tahun lalu tercapai apabila dia menerima bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini.
Kamarol Hisham Mohamed, 32, dari Banggol Bauh berkata, dia antara tiga penerima bantuan rumah berkenaan daripada DUN Bukit Tinggal di sini.
"Alhamdulillah, setelah berurusan dengan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Khidmat Masyarakat setempat permohonan mendapat perhatian.
"Permohonan mendapat perhatian pihak pejabat ADUN Bukit Tunggal. InsyaALLAH, dapatlah beraya di rumah sendiri tahun ini,” katanya kepada media ketika ditemui di Tebauk di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis penyerahan kunci rumah PPTS itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Alias berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian berkait kemudahan rumah untuk rakyat dan komited untuk melihat rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.
"Kita sasarkan pembinaan 5,000 unit rumah pada setiap tahun dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman web e-perumahan.terengganu.gov.my.
"Antara syarat untuk memohon PPTS ini ialah dengan mempunyai lot tanah sendiri atau diizinkan waris melalui akuan tandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah," katanya.
Menurutnya, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun ini dan dijangka sebanyak 160 unit akan dibina di Tok Jembal tahun ini.