LZS peruntuk RM32.6 juta biayai persiapan persekolahan 2022

Iklan
Anhar (lima dari kanan) dan Mohd Sabirin (empat dari kiri) bersama beberapa penerima bantuan persekolahan ketika Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di Dewan Auditorium Pusat Siswazah UKM, di sini pada Isnin.

BANGI - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan peruntukan zakat sebanyak RM32.6 juta kepada 31,954 orang ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di seluruh negeri ini bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2022.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, seramai 66,160 penerima akan mendapat manfaat tersebut melibatkan 385 pelajar pra persekolahan, 40,208 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 35,502 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) atau Sekolah Menengah Agama (SMA).

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap pelajar SK akan menerima kelengkapan persekolahan pada kadar RM170 seorang dan pelajar SRA pada kadar RM150 seorang, manakala pelajar SMK atau SMA akan menerima sebanyak RM200.

Mohd Sabirin berkata, bantuan tersebut perlu dibelanjakan untuk kelengkapan persekolahan meliputi sepasang pakaian seragam, kasut dan stoking, beg sekolah, alat tulis dan sebagainya.

Iklan

"Bantuan boleh ditebus menggunakan kad pengenalan ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Pasar Raya Lotus's, Pasar Raya Borong SAKAN dan Canggih berdasarkan kepada kadar bantuan yang diterima bermula Isnin hingga 28 Februari 2022.

"Penerima fakir dan miskin dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang pula boleh menebus kelengkapan persekolahan tersebut secara dalam talian di www.terasds.com dan barangan keperluan persekolahan akan dihantar terus ke rumah asnaf melalui perkhidmatan penghantaran," katanya ketika sidang media di sini pada Isnin.

Iklan

Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir kepada 150 orang asnaf secara simbolik di Dewan Auditorium Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, setiap pelajar turut menerima bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM200 seorang bergantung kepada tahap persekolahan mereka.

Ujarnya, pelajar terbabit turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

"Ia akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucar tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.

"Ini bermakna secara puratanya, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga," katanya.

Salah seorang penerima bantuan tersebut, Noor Fadilah Mat Ayub, 43, berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak LZS kerana meringankan beban keluarganya menerusi bantuan tersebut bagi menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan.

Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori terjejas akibat pandemik Covid-19 sekali gus mengganggu perbelanjaan harian mereka lima beranak.

Lebih memilukan, dia yang tinggal di Kampung Teras Jernang, Kajang turut menghidap penyakit kencing manis dan kini tidak boleh berjalan seperti biasa sejak Ogos lalu.

"Sebelum ini saya pernah berniaga menjual nasi lemak di Seksyen 14, tetapi disebabkan keadaan kesihatan saya sekarang, jadi anak saya, Muhammad Khaironi Mohd Norizam, 16, ambil alih dengan menjual ayam goreng ketika cuti sekolah untuk perbelanjaan harian.

"Terima kasih kepada LZS atas sumbangan ini kerana ia sangat membantu keluarga kami," katanya.

Bagi, Asmat Abdullah, 48, pula bersyukur kerana dia menerima manfaat berkenaan setelah dimaklumkan oleh rakan-rakannya berkenaan perkara tersebut.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, beban perbelanjaannya untuk menghantar anak lelakinya Muhammad Ammar Izzuddeen, 11 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Seksyen 3 di sini terasa ringan kerana sebelum ini dia sering meminta bantuan daripada adik-beradiknya untuk membantunya.

"Saya baharu pertama kali memohon bantuan ini setelah dimaklumkan oleh kawan-kawan. Saya rasa lega sangat dapat terima manfaat ini kerana sebelum ini saya terpaksa mengadu kepada adik beradik lain untuk membantu berkenaan perbelanjaan persekolahan anak.

"Saya juga turut menerima bantuan bulanan daripada LZS bagi bantuan rumah sewa dan mereka tidak putus membantu kami sekeluarga sepanjang masa," katanya.