KUCHING - Seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Selasa, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.
Katanya, 85 pusat pengundian awal dengan 111 saluran akan dibuka mulai 7.30 pagi hingga 5 petang dengan 5,522 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan serta memastikan proses pengundian awal pada Selasa berjalan dengan lancar.
Iklan
Iklan
"Pusat mengundi awal terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bagi undi pos pula menurutnya, jumlah permohonan bagi pihak polis adalah sebanyak 1,200 dengan 705 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mancha berkata, pihak polis telah mengeluarkan enam kompaun kepada pihak-pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), dengan kompaun terkumpul berjumlah RM31,000.
Beliau berkata, polis telah membuka 39 kertas siasatan bagi tempoh 30 November lepas hingga Ahad (12 Disember), di samping menerima 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit polis untuk berkempen secara fizikal daripada parti serta calon-calon yang bertanding. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Artikel Berkaitan