KOTA KINABALU - Sebanyak RM6.25 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program bantuan MyKasih Kapital pada tahun hadapan sebagai usaha memperkasakan usahawan wanita yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu memfokuskan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dengan wanita akan dihubungkan kepada peluang perniagaan atau keusahawanan seperti menjadi ejen atau dropship.
"Tanpa kita sedar, pandemik Covid-19 telah mendatangkan 1,001 hikmah kepada kehidupan kita dan mengubah corak kehidupan khususnya dalam aspek pengendalian perniagaan dalam talian yang kini menjadi pilihan utama para pelanggan.
"Dengan pelaksanaan Program MyKasih Kapital ini, golongan wanita dilatih dan digalakkan untuk menjana pendapat dari rumah. Insentif bantuan yang akan diberikan adalah dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan serta program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran MyKasih Kapital kepada 250 usahawan wanita Sabah di sini pada Isnin.
Rina berkata, tujuan utama program itu dilaksanakan adalah untuk memperkasakan ekonomi golongan wanita yang terkesan dengan pandemik wabak Covid-19 melalui modal perniagaan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka yang memerlukan bantuan kewangan.
"Suntikan dana MyKasih Kapital akan bergantung kepada jenis perniagaan iaitu minimum RM500 dan maksimum RM1,000," tambahnya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 5,000 usahawan wanita di seluruh negara telah menyertai program berkenaan dan ramai yang telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
"Kita jangkakan lebih ramai usahawan wanita yang akan menyertai program ini pada tahun hadapan berikutan banyak golongan wanita yang terkesan akibat Covid-19," katanya. - Bernama