Perkemas jentera parti sementara tunggu tarikh bubar Parlimen

Iklan
Bung Moktar

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta jentera parti diperkemaskan sementara menunggu dua tarikh penting iaitu pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata, ketika ini semangat ahli UMNO kembali pulih selepas prestasi cemerlang baik semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Iklan
Iklan

"Ini membuktikan bahawa parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih relevan menjadi pilihan rakyat.

"Kita perlu terus bekerja, parti kita mempunyai organisasi yang lengkap dari Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan. Komponen ini jika digerakkan secara bersepadu dan teratur akan memudahkan lagi gerak kerja kita menghadapi PRU-15," katanya dalam perutusannya sempena mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian yang bermula di seluruh negara pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, momentum ketika ini cukup baik dalam beberapa siri PRN namun kejayaan itu tidak boleh melekakan ahli UMNO sebaliknya perlu terus bekerja dan mendekati ahli di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat agar terus turun padang mendekati rakyat dengan mendengar setiap masalah yang dihadapi rakyat untuk dibantu atau disuarakan kepada pihak yang berkenaan.

Iklan

"Selain turun padang, jentera kita perlu disusun rapi dan daftar keahlian perlu diperkemaskan serta tubuh seberapa banyak cawangan.

"Amalkan juga pintu terbuka kepada mereka yang kembali dan berjuang bersama UMNO," katanya.