KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan mengalami kerugian RM26,200 setelah diperdaya sindiket e-dagang kononnya memenangi cabutan bertuah sebuah telefon pintar jenis iPhone 12 Pro Max.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada penghujung bulan lalu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima melayari aplikasi media sosial Instagram dan berminat untuk membeli sehelai baju.
"Mereka berurusan dengan penjual melalui aplikasi mesej Intagram sebelum mangsa diminta memasukkan wang RM200 ke satu akaun bank milik seorang individu bagi bayaran baju berkenaan termasuk kos penghantaran.
"Pada awal bulan ini, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada satu talian yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pekerja dari butik pakaian berkenaan memaklumkan mangsa memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPhone 12 Pro Max bagi pembelian blaus tersebut dan diminta untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebagai wang jaminan bagi mendapatkan hadiah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang RM1,000 ke satu akaun bank milik individu berbeza menggunakan perkhidmatan perbankan internet milik ibu mangsa.
"Seterusnya, mangsa diminta untuk membuat tiga lagi bayaran berjumlah RM7,000 ke akaun bank yang sama kononnya sebagai wang cagaran yang akan dipulangkan semula kepada mangsa.
"Dalam tempoh beberapa hari kemudian, mangsa masih lagi diminta membuat beberapa lagi bayaran berjumlah RM18,000 ke beberapa akaun bank lain milik individu berbeza bagi pelbagai tujuan seperti bagi membuka kata laluan iPhone 12 Pro Max tersebut dan juga kos penghantaran,” katanya.
Menurut beliau, mangsa akhirnya menyedari ditipu setelah menerima satu panggilan di aplikasi WhatsApp memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai bank meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan kembali wang milik mangsa.
"Sekiranya mangsa tidak membuat bayaran seperti yang diminta, mangsa diugut akan dibawa ke mahkamah.
"Mangsa juga masih belum menerima baju yang dibelinya dan juga hadiah cabutan bertuah tersebut serta membuat laporan polis setelah menyedari ditipu dengan jumlah kerugian RM26,200 pada Rabu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Azizul mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran iklan barangan atau perkhidmatan secara dalam talian terutamanya membabitkan pembayaran ke akaun-akaun bank milik individu yang tidak dikenali.
"Jangan cepat sangat teruja dan mempercayai dengan sebarang dakwaan memenangi cabutan bertuah yang meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum hadiah berkenaan diterima.
"Sebagai langkah berwaspada, buat semakan nombor akaun bank dan juga nombor talian di laman sesawang http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ yang boleh dimuat turun secara percuma atau hubungi talian CCID Scam Response Centre 03-2610 1559 / 03-2610 1599,” katanya.