KUALA LUMPUR – Lebih 90 peratus pelajar sekolah menengah melibatkan kelas peperiksaan yang telah divaksin boleh ke sekolah tanpa penggiliran apabila sesi persekolahan dibuka semula pada Januari tahun depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pihaknya dan KKM kini sedang mengkaji untuk melihat sama ada pelajar-pelajar dalam kelompok lain yang masih digilirkan dibenarkan ke sekolah.
"Begitu juga murid-murid di sekolah rendah. Kita juga sedang melihat perkara ini dan kita akan perincikan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas mengenai Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Mohd Radzi mengakui kadar RM2.50 sekepala yang ditetapkan itu adalah rendah berdasarkan keadaan semasa dan menu yang diperlukan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berbincang di peringkat kementerian tentang gesaan bagi menaikkan kadar tersebut.
"Perkara ini sedang dibincang di peringkat kementerian bersama agensi pusat untuk melihat apakah pendekatan yang paling sesuai dalam membolehkan kita memberikan yang terbaik untuk anak-anak yang memerlukan ini,” ujarnya.