M40 nikmati insentif tambahan

Iklan

Bajet 2022 menyaksikan kumpulan ini tidak ketinggalan daripada menerima bantuan ringankan beban

SHAH ALAM - Selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini nyata memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Ini termasuk golongan M40 yang sebelum ini sering disebut sebagai ‘kumpulan tercicir’. Bajet 2022 menyaksikan kumpulan ini tidak ketinggalan daripada menerima nikmat belanjawan negara dalam usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Bantuan tunai, pelepasan cukai dan beberapa insentif lain yang ditawarkan mampu menjadi pilihan untuk mereka mengurangkan beban yang sedang ditanggung.

Iklan

Mengambil kira Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang memperuntukkan RM8.2 bilion ditawarkan kepada rakyat yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, ini melayakkan isi rumah M40 berpendapatan bermula RM4,851 hingga RM5,000 memperoleh bantuan tunai antara RM400 hingga RM800.

Ia berdasarkan takrifan bahawa golongan M40 di negara ini adalah dalam kalangan yang menikmati gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan untuk tahun 2021.

Iklan

Meskipun diakui tidak semua M40 dapat menikmati bantuan ini, kerajaan dilihat mengambil tindakan wajar dalam memberikan insentif lain yang lebih sesuai dan memberi impak lebih besar untuk M40.

Antaranya dalam bentuk pelepasan cukai yang boleh dinikmati oleh isi rumah M40 yang bekerja dengan majikan, mahupun yang menguruskan perniagaan sendiri antaranya merangkumi aspek pendidikan yang berkualiti untuk semua apabila kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

Selain itu, pelepasan cukai sehingga RM3,000 juga dinikmati untuk bayaran Taska, program peningkatan kemahiran (RM2,000) dan pelancongan domestik (RM1,000).

Pada masa sama, tawaran potongan pembayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara 10 peratus hingga 15 peratus juga memberi kelegaan buat M40 yang masih menanggung hutang pelajaran.

Antara lain, M40 juga menikmati pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada sembilan peratus selain pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk hartanah yang dilupuskan pada tahun keenam.

Suntikan bantuan untuk kelangsungan pendapatan jangka panjang khususnya bagi golongan M40 yang mengusahakan perniagaan sendiri juga tidak dilupakan.

Ini dibuktikan melalui pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM40 bilion yang disediakan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bagi tahun 2022 yang bakal memberi manfaat jangka panjang buat golongan M40 yang layak.

Peruntukan itu disediakan melalui skim pembiayaan pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti, dengan sasaran memanfaatkan setiap golongan usahawan termasuk perusahaan mikro dan syarikat tersenarai awam.

Usaha ini demi mengembalikan keupayaan perniagaan, terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal.

Sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah TEKUN akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Bahkan, dalam usaha menstabilkan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19, golongan M40 ini juga boleh memanfaatkan insentif di bawah program JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang merangkumi peruntukan sehingga RM4.8 bilion.

Di bawah JaminKerja, kerajaan bakal menampung pembayaran upah pekerja-pekerja yang berkelayakan sekaligus mengurangkan beban golongan M40 yang bertindak sebagai majikan.

Bantuan kembalikan operasi perniagaan

SHAZALI

Penganalisis ekonomi dari Asia e University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor menyifatkan Bajet 2022 yang tidak meminggirkan golongan M40, mampu membantu golongan itu untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik setelah ramai yang terjejas akibat pandemik.

Katanya, dianggarkan 10 hingga 20 peratus golongan M40 berdepan peralihan status disebabkan impak yang dialami khususnya membabitkan pengusaha-pengusaha perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Mereka ini yang memerlukan bantuan untuk kembali menjalankan perniagaan dengan lebih baik. Apabila berlaku pandemik, kesannya terhadap setiap orang adalah tidak sama.

"Tidak semua dalam golongan M40 memerlukan bantuan tunai. Mereka perlu mendapat kemudahan-kemudahan lain mengikut keperluan dan keadaan semasa yang boleh mengurangkan beban mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

bajet1

Beliau berkata kerajaan boleh menambahkan lagi kemudahan kepada golongan ini dengan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menghidupkan kembali perniagaan mereka.

"Benarkan golongan yang memerlukan ini untuk gunakan kewangan yang mereka ada. Jika tiada, barulah ditawarkan pinjaman dan begitu juga jika yang sudah memperoleh pembiayaan, mungkin tidak perlu dibenarkan membuat pengeluaran KWSP,”katanya.

Katanya lagi, rakyat sudah tidak mampu menanggung masalah kewangan dan tekanan jiwa sekiranya PKP kembali dilaksanakan.

"Ketidaktentuan operasi bagi sektor-sektor yang stabil akan memberi kesan kepada ekonomi negara. Kerana itu bantuan dari segi untuk memulakan perniagaan adalah baik dan wajar. Kumpulan ini ada kemahiran untuk menjalankan perniagaan dan menjadi kerugian kepada negara jika tidak diteruskan,”katanya.

INFO

Melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11% kepada 9 % sehingga Jun 2022 (RM2 bilion)

- JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan merangkumi inisiatif upah (RM4.8 bilion)

- Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022

- Pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk bayaran Taska.

- Pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan dinaikkan daripada RM1,009 kepada RM2,000 sehingga 2023

- Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik (RM1,000).

- Potongan harga pembayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara 10 peratus hingga 15 peratus.

- Lanjutan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang.

- Pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk hartanah yang dilupuskan pada tahun keenam.

- Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

- Pemberian vaksin dos ketiga secara percuma

- Penangguhan cukai selama 6 bulan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

- Geran Pendigitalan

- Program e-start bernilai RM300 juta iaitu kredit RM150 ‘one-off’ ke akaun e-dompet belia 18 hingga 20 tahun (manfaat kepada anak-anak M40)