‘Komando bukan pengasuh anak kita’

Iklan
Cikgu Emmet

SHAH ALAM - Melantik bekas polis atau komando negara sebagai warden asrama sekolah bukanlah jalan penyelesaian sesuai yang mampu mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar asrama.

Demikian yang dikongsi Ahmad Faizal Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin berhubung cadangan menempatkan bekas polis dan tentera sebagai warden di sekolah asrama.

Iklan
Iklan

"Pelajar membuli dan tidak ada disiplin, suruh bekas polis atau askar jadi warden. Selesai, noktah. Betul ke selesai?

"Dulu ada anak nakal, solusinya masuk sahaja ke tahfiz. Penyudahnya ada kes buli dan amang seksual di tahfiz, jadi salah siapa? Takkan nak salahkan agama pula?

Iklan

"Saya tidak kiralah kalau luar negara ada buat benda ini atau tidak, tapi sebagai seorang guru, bapa dan orang awam saya tidak setuju bekas polis atau komando jadi warden sekolah,” tegasnya.

Beliau berkata, kejadian buli tidak hanya berlaku disebabkan masalah disiplin semata-mata, tetapi turut berkait rapat dengan didikan awal yang diterima di rumah.

Iklan

"Kalau ada ibu bapa yang anaknya nakal dan bergaduh dengan anak jiran, kita sebagai ibu bapa memberi respon, biasalah budak-budak, kena tumbuk sikit. Itu pun nak bising. Itulah punca sebenarnya.

"Kalau beranggapan bahawa anak kita masuk sekolah nanti semua benda akan diasuh oleh cikgu termasuk membina sahsiah, jadi ibu bapa lepas tangan, itulah puncanya,” jelasnya.

Ahmad Faizal berkata, seorang tentera atau polis yang bakal memasuki fasa persaraan perlu mengikuti program transisi untuk menyesuaikan dan mengadaptasi diri bersama orang awam.

Tambahnya, disebabkan itu ramai anggota tentera yang bersara memilih bidang yang ada kaitan dengan keselamatan dan ketenteraan selepas bersara.

"Bayangkan kalau orang-orang yang hebat ini disuruh jadi warden sekolah. Mereka akan melaksanakan kawalan tentera secara maksimum. Silap-silap asrama sekolah akan jadi penjara bagi pelajar, adakah ini yang kita mahukan?” soalnya.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemak kembali perjawatan warden di sekolah.

"Kalau boleh wujudkan jawatan ini sebagai jawatan hakiki yang berasingan daripada guru. Maksudnya warden adalah warden, bukan guru yang jadi warden.

"Andai kata guru juga terpaksa jadi warden, pastikan ada insentif yang diberikan. Jadual mengajar kena minima. Ini tidak, siang mengajar, malam jadi warden.

"Pembantu Pengurusan Murid (PPM) juga boleh dijadikan warden selain meminta guru. Insentif khas perlulah berbaloi kerana warden sangat berat tanggungjawabnya,” ujar Ahmad Faizal.