BESUT - Program Dari Dapur Peladangnita 'Masok Mende Weh' anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu mengetengahkan 15 menu yang diolah daripada ikan tongkol atau lebih dikenali ikan aye oleh masyarakat tempatan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, program itu memberi peluang kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mengetengahkan juadah berkhasiat daripada sumber utama ikan tongkol yang diolah mengikut resipi dan citarasa tersendiri.
"Selain dapat memperkenalkan pelbagai hidangan istimewa oleh masyarakat tempatan, program berbentuk santai yang diadakan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara PPK di setiap kawasan di seluruh negeri.
"Ia membolehkan setiap daripada mereka berkongsi idea dan kelainan sekaligus menterjemahkan slogan Keluarga Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya ketika ditemui pemberita dalam program berkenaan yang diadakan di Bukit Keluang Beach Resort, Kampung Raja di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Terengganu, Datuk Mohd Rosli Harun; Pengarah LPP Terengganu, Mohd Saupee Sudin serta Pengerusi Peladangnita Terengganu, Zaiton Mohd Yusof.
Program Dari Dapur Peladangnita menyaksikan PPK Maras/Batu Rakit merangkul johan dengan mengetengahkan acar ikan aye, rojak betik Terengganu serta roti jala kuah manisan.
Sementara itu, PPK Kuala Berang pula menyandang naib johan dengan menu masak tempoyak ikan aye, kerabu pegaga dan tumis lada serta puteri mandi jering rebus.
Tempat ketiga pula dimenangi PPK Kuala Terengganu yang mengetengahkan menu ikan aye bakar air asam, tumis belacan lokan serta roti jala kuah lemak manis.
Johan pertandingan membawa pulang wang tunai RM500, sijil dan hadiah iringan; naib Johan pula menerima RM400 berserta sijil dan hadiah iringan, manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM300 berserta sijil dan hadiah iringan.
Keputusan pertandingan masakan dinilai oleh juri dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Politeknik Hulu Terengganu serta chef jemputan dari Bukit Keluang Beach Resort.
Johan pertandingan masakan akan mewakili Terengganu pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 yang diadakan pada 23 Disember 2021 di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur.
Seramai 30 peserta daripada 15 buah PPK menyertai pertandingan itu antaranya PPK Pelagat, PPK Gerai, PPK Kerandang, PPK Setiu, PPK Manir/Belara, PPK Bukit Payong, PPK Marang, PPK Bukit Diman, PPK Jerangau, PPK Dungun, PPK Kijal, dan PPK Kemaman.