Kutipan hasil kerajaan Persekutuan meningkat 8.9 peratus: PM

Iklan
Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada Isnin

SHAH ALAM – Kutipan hasil kewangan kerajaan Persekutuan mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan itu adalah berdasarkan prestasi sehingga akhir November.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) berpandangan semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan itu.

"Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada enam peratus daripada KDNK.

Iklan

"Inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat FPC, pada Isnin.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, untuk jangka masa sederhana, kerajaan komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

Iklan

Justeru katanya, jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

"Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMK12.

"Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

"Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.