ALASAN lapuk seperti pemain terlalu menghormati lawan tidak sepatutnya digunakan sebagai punca kekalahan Harimau Malaya kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Ahad.
Sebaliknya para pemain negara mengikis mentaliti terlalu menghormati lawan apatah lagi bakal berdepan lawan yang jauh lebih hebat dari Naga Emas di Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
Perkara itu ditegaskan legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang berpendapat para pemain Harimau Malaya perlu lebih berani dan bersemangat apabila berdepan pesaing yang mempunyai nama besar sekiranya berhasrat untuk melangkah lebih jauh pada masa depan.
"Saya nampak perlawanan menentang Vietnam, pemain kelihatan gugup dan tidak yakin sehingga menyebabkan Vietnam kawal keseluruhan permainan. Ini menunjukkan bahawa kualiti pasukan negara belum berada pada tahap terbaik menyaingi lawan itu sahaja.
"Ini baru level bertemu pasukan Asia Tenggara, belum lagi kalau berjumpa pasukan-pasukan yang berada di level lagi tinggi di Asia terutamanya di pusingan Kelayakan Piala Asia nanti.
"Jadi saya amat berharap supaya FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), akan melihat perkara ini dengan lebih serius lagi supaya alasan sebegini tidak lagi digunapakai selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Isnin.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum itu memberikan alasan terlalu menghormati lawan antara punca Harimau Malaya gagal mempamerkan aksi sebenar ketika tewas 0-3 kepada Vietnam.
Dalam pada itu, Khalid meminta para pemain negara melupakan kekalahan dibelasah anak buah Hang-seo tersebut, sebaliknya bangkit menebus kekalahan berkenaan apabila berdepan Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Ahad ini.
Tegas Khalid, paling penting pada ketika tempoh rehat ini adalah skuad negara perlu segera memperbaiki segala kepincangan yang berlaku semasa berdepan menentang Vietnam.
"Benda yang lepas biarlah lepas. Sekarang ini mereka kena duduk berbincang buat post mortem apa yang perlu diperbaiki bagi menghadapi Indonesia. Mereka juga perlu bertanggungjawab antara satu sama lain jadi seperti satu keluarga. Insya-ALLAH kita boleh menang lawan Indonesia,” katanya.