IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah menjalankan sebanyak 74,240 operasi pemantauan berhubung kenaikan harga barang sepanjang tahun ini hingga Oktober.
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pada tahun lalu, sebanyak 77,901 pemantauan telah dilaksanakan oleh KPDNHEP negeri.
Menurutnya, terdapat beberapa operasi telah dilaksanakan antaranya Ops Catut 8.0, Ops Rantai 8.0 dan Ops Pasar bagi memantau harga keperluan seperti ayam, telur, sayur dan sebagainya.
"Antara dapatan yang diperolehi daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh KPDNHEP Perak terhadap isu kenaikan harga barangan mendapati punca kenaikan harga barangan di pasaran adalah disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan operasi.
"Selain itu, pembukaan semula sektor ekonomi menyebabkan berlaku permintaan yang sangat tinggi secara mendadak terhadap semua jenis barangan," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Khairudin Abu Hanipah (BN-Belanja) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa.
Abdul Yunus berkata, bagi mengawal situasi kenaikan harga tersebut, KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan kes terhadap peniaga yang melakukan kesalahan di bawah akta-akta seliaan KPDNHEP.
Menurutnya, pada tahun 2021, sehingga kini terdapat 869 kes dihasilkan dengan kes tertinggi di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011 dicatatkan iaitu sebanyak 538 kes.
Sementara itu, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang terutama barang mentah dan binaan sewenang-wenangnya, seramai 176 pegawai penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga akan terus menjalankan pemantauan dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.