Bekalan ayam tempatan stabil menjelang Februari

Iklan
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin bekalan ayam tempatan di pasaran akan stabil menjelang Februari tahun depan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri ayam tempatan supaya memberikan komitmen meningkatkan kapasiti pengeluaran selaras dengan permintaan semasa.

Iklan
Iklan

"Masalah ini (bekalan ayam) adalah masalah sementara dan pengimportan (ayam sejuk beku) yang dibuat kerajaan sebagai langkah intervensi adalah satu langkah sementara. Ia akan diberhentikan sebaik sahaja pengeluaran stabil,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) mengenai program spesifik dilaksanakan kementerian untuk memenuhi keperluan bekalan ayam sekali gus menstabilkan harga ayam.

Iklan

Ronald menjelaskan negara sebenarnya memenuhi kadar sara diri (SSL) dan hanya mengimport ayam keratan untuk diproses sebagai nuget dan sosej.

"Disebabkan oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pihak industri mengurangkan pengeluaran ayam tempatan dan keadaan ini menjadi kritikal apabila ekonomi kembali dibuka dan permintaan untuk ayam bertambah,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pengeluaran ayam pada Oktober lepas adalah 52.05 juta ekor dan pengeluaran tersebut menurun kepada 51.4 juta ekor pada November, kekurangan 17.73 peratus berbanding keperluan sebenar.

Unjuran pengeluaran ayam pada Disember disasarkan 61 juta ekor, katanya.

Ronald berkata, purata keperluan ayam dalam negara adalah 3,762 tan metrik sehari atau 113,220 tan metrik sebulan bersamaan dua juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pengimportan ayam sejuk beku dari sembilan loji di Thailand serta dua di China adalah selamat dan halal serta melalui Jawatankuasa Pengiktirafan Rumah Sembelih bagi Loji Pemprosesan Luar Negara yang dianggotai Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). - Bernama