Mahkamah Tinggi arah KDN daftar Muda dalam tempoh 14 hari

Iklan
Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah), pada 24 Ogos lalu, memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Muda sebagai sebuah parti politik.

Iklan
Iklan

Perkara itu dimaklumkan peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain semasa ditemui pemberita selepas keputusan itu.

"Hakim Noorin membenarkan permohonan itu dan membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak pendaftaran Muda sebagai satu parti politik. Mahkamah turut memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan RoS membayar kos RM10,000 kepada Muda," katanya.

Iklan

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali yang mewakili menteri berkenaan dan RoS selaku responden ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 21 September lepas, Syed Saddiq serta 12 individu selaku pemohon memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman tersebut bagi mencabar keputusan itu.

Iklan

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, mereka memohon perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai, kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 18 Ogos lepas, Muda menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan Muda untuk mendaftarkan parti berkenaan atas alasan ia menjadi akademik kerana pada 12 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan berhubung rayuan itu dengan menolak permohonan tersebut.

Mereka kemudiannya memfailkan permohonan baharu di mahkamah pada 24 Ogos lepas. - Bernama