PASIR SALAK - Teguran agar tidak menonton video lucah menjadi punca kejadian buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, teguran itu dibuat oleh mangsa berusia 13 tahun terhadap salah seorang suspek menyebabkan pelajar berkenaan tidak berpuas hati dan marah.
"Kita dah temu bual mangsa dan kita dapati punca pergaduhan atau mengapa dia dibuli itu adalah kerana dia telah menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah di telefon (bimbit).
"Mangsa juga mengatakan akan mengadu kepada guru atau warden sekiranya suspek tidak berhenti menonton video lucah itu.
"Daripada siasatan, dikatakan inilah antara punca mengapa mereka bertindak memukul dan membuli mangsa," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di Dewan Agro Aman Jaya, Kompleks Perumahan Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Tanjung Tualang di sini pada Selasa.
Menurut Mior Faridalathrash, pergaduhan itu pada awalnya hanya melibatkan mangsa dan seorang suspek, namun seorang pelajar Tingkatan Tiga telah bertindak menyuruh rakan-rakan lain menyerang mangsa.
"Pelajar berusia 15 tahun ini juga antara salah seorang yang ditangkap dan dia dikatakan telah mengarahkan enam pelajar lagi untuk memukul dan menendang mangsa," katanya.
Beliau berkata, polis telah melakukan tangkapan dan merakam percakapan 10 pelajar iaitu sembilan berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang terlibat dan bersubahat dalam insiden itu.
Katanya, kesemua mereka ditahan pada 10 dan 11 Disember lepas dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya.
"Lapan saksi kes ini juga telah dipanggil memberi keterangan dan polis telah melakukan rampasan ke atas 11 telefon bimbit untuk dihantar ke pihak forensik untuk dianalisis," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu masing-masing daripada pengetua sekolah dan bapa mangsa.
Katanya, kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan sebaik siasatan selesai.
"Kita dimaklumkan, mangsa yang menerima rawatan lanjut di hospital di Selangor berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan serius," katanya.
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Kejadian itu berlaku pada Khamis antara jam 1 hingga 2 pagi di asrama sekolah berkenaan sebelum rakaman videonya tular di media sosial.
Menerusi video tular berdurasi 10 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah.
Beberapa lagi video berdurasi antara 13 hingga 30 saat turut dimuat naik memperlihatkan mangsa diarahkan kekal berdiri sebelum dia ditendang dari arah belakang selain ditumbuk beberapa kali pada bahagian perut.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak siasat video buli pelajar sekolah
Tujuh pelajar, mangsa dipanggil beri keterangan
Buli: Empat pelajar ditahan bantu siasatan
Buli: Dua lagi pelajar ditahan
ARTIKEL BERKAITAN: Mara diarah lakukan siasatan terperinci kes buli pelajar