KPM belanja RM77.34 juta selenggara kemudahan OKU di sekolah

Iklan
Mohamad pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membelanjakan sebanyak RM77.34 juta untuk penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di sekolah sejak 2011 hingga 2020, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, berdasarkan data tahun ini, daripada 6,394 sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas (MBK) di seluruh negara, 730 sekolah telah dilengkapi dengan empat kemudahan mesra OKU iaitu susur tangan, susur landai, tandas OKU dan tempat letak kenderaan OKU manakala 2,774 sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada empat kemudahan tersebut.

Iklan
Iklan

"Pada tahun 2021, KPM telah diberikan peruntukan khas utk memperkasa Agenda Pendidikan Khas sebanyak RM45 juta bagi membiayai keperluan MBK di sekolah. Daripada jumlah tersebut, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM33.73 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekolah.

"Kerja-kerja penyelenggaraan itu iaitu menyediakan empat kemudahan mesra OKU yang melibatkan 245 sekolah manakala baki peruntukan sebanyak RM11.27 juta diperuntukkan bagi kapasiti pembangunan sumber manusia, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta saringan, intervensi dan khidmat sokongan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang ingin tahu sama ada peruntukan menaik taraf sekolah yang disediakan dalam Bajet 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan digunakan untuk menaik taraf prasarana sekolah supaya ia mesra kepada murid berkeperluan khas di setiap daerah serta jumlah peruntukan untuk naik taraf prasarana mesra OKU di sekolah sejak 2011 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pada tahun depan, KPM turut diberikan peruntukan khas sebanyak RM50 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM29.9 juta akan digunakan untuk penambahbaikan infrastruktur di 467 sekolah yang mempunyai MBK.

Iklan

Selain itu, katanya, melalui RMK12 Rolling Plan 2, sebanyak RM124.5 juta diperuntukkan kepada KPM untuk lapan projek yang melibatkan sebuah sekolah kebangsaan pendidikan khas dan tujuh program pendidikan khas integrasi.

"KPM komited dalam memastikan penyediaan akses pendidikan kepada MBK di sekolah dengan kesediaan keperluan pendidikan khas bergantung kepada tahap kefungsian murid, intervensi serta sokongan yang diperlukan," katanya. - Bernama