KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis selepas disyaki mencuri petai di kebun jiran sekampungnya, di Kampung Lingai, Batu Rakit, Kuala Nerus, pada 4 Mac lalu.
Bagaimanapun, suspek yang berusia 20-an, berjaya ditahan petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, pengadu, 65, salah seorang jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di situ dimaklumkan penduduk kampung ada orang sedang mencuri petai di kebun 'Haji Din'.
"Sejurus itu, pengadu bergegas ke lokasi dimaklumkan ditemani pemilik kebun itu sendiri bersama beberapa penduduk setempat ke kebun dimaksudkan.
"Setibanya dilokasi, pengadu bersama penduduk yang turut bersama-samanya ternampak seorang lelaki amat dikenali telah melarikan diri selepas menyedari kedatangan penduduk kampung," katanya.
Sumber berkata, dalam situasi kelam kabut itu, suspek yang hendak menyelamatkan diri dan mengelak dirinya dicekup ketika itu tidak sempat mengambil motosikalnya.
"Suspek meninggalkan motosikal jenis Honda Wave berwarna biru dan beberapa keping petai yang dicurinya di dalam bakul motosikal itu," katanya.
Sementara itu, perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/ Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim, hari ini.
Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.