83 peratus keluar undi awal setakat 2 petang: SPR

Iklan
Anggota PGA mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki Pusat Pengundian awal Kem batalion 11 PGA Batu Kawah bagi PRN Sarawak ke-12 di sini hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Sejumlah 83 peratus anggota keselamatan dan pasangan telah keluar mengundi awal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak setakat petang ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah itu dicatatkan sehingga pukul 2 petang, selepas pusat mengundi awal dibuka bermula 7.30 pagi.

Iklan
Iklan

Tinjauan di lokasi pengundian awal mendapati proses berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Zainuriah Mustapha antara yang terawal melaksanakan tanggungjawab mengundi di hari pengundian awal PRN12 di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang di Kota Samarahan.

Iklan

Antara yang turut mengundi awal di lokasi sama adalah Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan isteri, Datin Sdafra’ Ahmad, serta Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan isteri Datin Norziati Othman.

Selain itu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata antara yang mengundi di Dewan Pahlawan Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Batu Kawa di sini.

Iklan

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh turut hadir meninjau proses pengundian awal di beberapa lokasi seperti di Dewan Bukavu Kem Penrissen, antara pusat undi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Stakan Datuk Hamzah Brahim turut dilihat di Dewan Bukavu Kem Penrissen pada 10 pagi.

Abdul Ghani Salleh turut hadir meninjau proses pengundian awal di beberapa lokasi seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin di sini.

Turut kelihatan hadir meninjau perjalanan proses undi awal ialah calon DUN Tupong Fazruddin Abdul Rahman (GPS) dan Ahmad Nazib Johari (PKR) yang hadir di pusat berkenaan selain calon PKR untuk DUN Satok Datuk Dr Nor Irwan Ahmat Nor.

Di Sibu, antara lokasi proses undian awal dilakukan adalah di Kem RASCOM Markas 9 Briged, Kem PGA Batalion 10 Sibu dan Balai Polis Sibu Jaya, manakala di Miri anggota dan pegawai polis serta tentera dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Kem Sri Miri.

Pengundian awal PRN12 Sarawak kali ini melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan. Ia dijalankan di 85 pusat mengundi awal.

Proses mengundi awal hari ini berlangsung sehingga pukul 5 petang. - Bernama

TAG: PRN12, Sarawak, undi awal, polis, tentera,