KUALA LUMPUR - Kira-kira 100 penduduk di Kampung Padang Balang berdekatan Sentul di sini runsing dan kecewa apabila kerap mengalami gangguan bekalan air bersih sejak enam bulan lalu.
Seorang penduduk, Mohd Azril Hisyam Rosden, 36, berkata, masalah itu sering menghantui penduduk selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Malah, katanya, keadaan itu bertambah teruk apabila penduduk terpaksa berdepan gangguan bekalan air selama empat hari berturut-turut pada 3 hingga 7 Disember lalu.
"Gangguan bekalan air bukan sehari dua kami alami sebaliknya ia berlarutan seperti tiada kesudahan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mohd Azril berkata, kekerapan gangguan bekalan air sering dialami pada waktu puncak terutama pada waktu Maghrib.
"Gangguan bekalan air makin teruk pada Maghrib hingga menyukarkan kami setiap kali ingin mengambil air sembahyang.
"Keadaan ini amat menyulitkan dan kami tidak pasti sampai bila masalah ini dapat diselesaikan," ujarnya.
Jelasnya, pelbagai aduan dan rungutan telah diajukan penduduk kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) termasuk kepimpinan masyarakat namun ia masih belum ada penyelesaian.
"Saya meminta Air Selangor mengambil tanggungjawab untuk membantu penduduk dan selesaikan segera kerumitan yang kami alami ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Khairul Anuwar Abd Kader, 48, berkata, masalah itu dihadapi kira-kira 28 rumah penduduk.
Jelasnya, penduduk buntu dengan masalah dialami meskipun Air Selangor menyediakan empat tangki masing-masing mempunyai kapasiti 500 gelen air bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan air.
"Sampai bila penduduk hendak mengangkut air setiap hari lebih-lebih lagi ada dalam kalangan penduduk sudah berusia dan tidak sihat.
"Saya menetap di sini sudah lama dan sebelum ini tidak ada pula timbul isu gangguan bekalan air dan minta penjelasan Air Selangor berhubung isu ini," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang menunggu maklum balas daripada Air Selangor berhubung aduan penduduk.