KUCHING - Polis Sarawak membuka 46 kertas siasatan atas pelbagai laporan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti termasuklah kes fitnah, merosakkan poster atau bendera parti dan salah guna media sosial.
"Sehubungan itu, 46 kertas siasatan telah dibuat dan setakat ini siasatan masih dijalankan," katanya ketika ditemui media di Mes Pegawai di Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak pada Selasa.
Sementara itu, Aidi menjelaskan, pihaknya turut mengeluarkan 10 kompaun sehingga hari ini membabitkan jumlah RM35,000.
"Kesemua kompaun tersebut dikeluarkan ke atas parti dan calon melibatkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PRN yang ditetapkan," jelas beliau.
Justeru, Aidi menasihatkan agar semua pihak, sama ada calon, ahli serta penyokong parti yang bertanding untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
Dalam hal berkaitan, sebanyak 2,295 permohonan permit berkempen telah diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat hari ini.
"Bagaimanapun ada juga yang ditolak atas sebab lokasi yang tidak sesuai seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," tegas Aidi.
Justeru, katanya, polis akan sentiasa menjalankan pemantauan dan jika ada pelanggaran SOP, maka kompaun akan dikenakan serta merta.