Huzir pangku jawatan Pengarah JSJ

Iklan
Huzir (kanan) akan memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah menggantikan Wan Ahmad Najmuddin (kiri) yang bersara wajib.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan beberapa nama kepada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pasukan Polis bagi menggantikan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang bersara wajib sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Jawatan itu kini dipangku Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini jawatan tersebut dipangku oleh Datuk Huzir kerana kekananan dan pengalaman yang dimilikinya dalam siasatan jenayah.

"Beliau (Huzir) telah berkhidmat dengan jabatan siasatan jenayah dalam tempoh yang panjang.

Iklan

"Itu antara kriteria yang kita fikirkan untuk beliau memangku jawatan tersebut," katanya dalam sidang media Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, di PULAPOL, hari ini.

Ketika ditanya adakah terdapat calon dalam bagi menjawat jawatan pengarah tersebut, Mohamad Fuzi berkata, keputusan bagi jawatan itu bergantung kepada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Iklan

Mohamad Fuzi bagaimanapun tidak mendedahkan senarai nama calon bagi mengisi jawatan tersebut.

"Kita ada proses dan sistem yang perlu kita patuhi. Tiada tempoh masa untuk pemilihan ini, lagi cepat lagi bagus. Hari ini lagi baik. Pucuk pimpinan telah pun kemukakan proposal untuk lantikan siapa yang difikir lebih layak untuk jawatan itu," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin sudah menabur bakti selama 40 tahun setelah memulakan karier bersama PDRM sejak 12 Mei 1979.

Sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau sudah memegang pelbagai jawatan penting seperti Ketua Polis Daerah Sandakan, Pegawai Khas kepada Yang Dipertuan Agong dan sebagainya sebelum mengakhiri perjalanan karier sebagai Pengarah JSJ sejak 15 September 2017.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin ketika ditemui berkata, selepas ini dia hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

"Kemungkinan saya akan menguruskan firma guaman milik anak saya dan rakan. Selain itu saya juga akan melakukan aktiviti yang tidak sempat saya lakukan pada ketika dahulu iaitu menjala.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu sepanjang bertugas sebagai pegawai polis,” katanya.