KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru orang ramai untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) bagi menunaikan tanggungjawab mereka, walaupun mengakui ada kebimbangan mengenai ancaman pandemik Covid-19.
Pengarah SPR Sarawak, Jasni Jubli yang mengakui ramai penduduk Sarawak bimbang dengan penularan virus itu berkata, calon serta wakil parti politik boleh memainkan peranan dalam menggalakkan orang ramai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.
"SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi 70 peratus... jadi kami menyeru kepada parti politik, media, untuk menggalakkan orang keluar mengundi,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Bicara Sarawak terbitan Bernama TV pada Selasa.
Beliau berkata, SPR faham ramai bimbang dengan pandemik ini, dan ada kemungkinan kebimbangan ia akan menjejaskan peratus yang akan keluar mengundi nanti, namun katanya dengan komitmen parti-parti politik untuk bersama mengambil inisiatif menggalakkan orang ramai mengundi, angkanya nanti dijangka tetap tinggi.
Sementara itu, Jasni berkata, setakat ini, SPR tidak menerima sebarang laporan salah laku calon semasa berkempen dan mendapati proses itu berjalan dengan aman.
Mengenai proses mengundi awal yang berlangsung sejak jam 7.30 pagi hingga 5 petang Selasa, beliau berkata setakat pukul 4 petang, peratusan mengundi awal ialah 88 peratus.
Pengundian awal PRN12 kali ini melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan, yang dilaksanakan di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan di pusat mengundi.
SPR menetapkan pengundian PRN12 berlangsung Sabtu ini. - Bernama