KOTA BHARU - Lebih 10,000 mualaf, pelajar dan guru sekolah pondok di negeri ini disasarkan memiliki kemahiran dalam bidang rawatan bekam menerusi program latihan percuma oleh Bedaie Neo Wellness di Klinik Dr Aziz Al Safi di sini pada Selasa.
Pengasas Bedaie Neo Wellness, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi Ismail berkata, program dilaksanakan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan terbabit menjana pendapatan sebagai juru bekam klinikal.
Beliau berkata, pihaknya memulakan program pada siri pertama dengan 100 peserta yang akan menjalani latihan secara percuma selama dua hari di klinik berkenaan.
"Bedaie Neo Wellness memberi peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM150,000 untuk membantu 100 orang mualaf, pelajar dan guru daripada tiga sekolah pondok bagi menyertai latihan bekam secara percuma.
"Peruntukan sebanyak RM1,500 bagi setiap peserta itu merangkumi set alat berbekam iaitu pen bekam, jarum dan modul-modul kaedah berbekam bagi membolehkan peserta mahir berbekam,” katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Dr Aziz Al Safi di Chicha pada Selasa.
Hadir sama, Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani.
Dalam pada itu, Dr Ab Aziz Al Safi berkata, peserta yang mahir akan dianugerahkan sijil juru bekam dan boleh mendapatkan pendapatan menerusi kemahiran itu.
"Mereka juga akan dibantu menerusi sistem ejen iaitu Bookjer yang akan menjadi platform tempahan dan pembayaran perkhidmatan berbekam di Kelantan.
"Bedaie Neo Wellness akan memberikan pembelajaran secara teori dan praktikal tentang proses rawatan bekam selain mengubah persepsi terhadap rawatan sunah itu, paling kurang kita sasarkan satu pondok, satu juru bekam,” ujarnya.
Pengasas Bedaie Neo Wellness, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail (kiri) menunjukkan cara-cara rawatan bekam dilakukan kepada seorang guru dari Pondok Neting Tumpat, Muhamad Norhakimi Mat Saat sambil diperhatikan oleh Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani (dua,kiri) dan peserta lain.
Pengasas Bedaie Neo Wellness, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail (dua, kiri) memberi penerangan kepada para mualaf wanita berkaitan perawatan bekam di Klinik Dr Aziz Al Safi di Chicha, di sini, pada Selasa.
Pengasas Bedaie Neo Wellness, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail (kiri) melakukan rawatan bekam ke atas bahagian belakang badan seorang pesakit sambil diperhatikan oleh Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani.