ALOR SETAR - Ombak besar setinggi 2 meter (m) dipercayai mengakibatkan bot yang dinaiki enam pemancing terbalik di perairan Tanjung Dawai, di sini, hingga meragut satu nyawa manakala lima lagi selamat pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata, hasil siasatan dan temu bual salah seorang mangsa iaitu tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, mendapati, enam lelaki termasuk dirinya keluar ke laut untuk tujuan memancing.
Beliau berkata, mereka berlepas dari Jeti Teluk Bayu Batu Lintang, Tikam Batu menuju ke Tuas yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak sekitar jam 10 pagi.
"Namun, bot yang dinaiki kumpulan terbabit telah terbalik akibat dipukul ombak setinggi lebih kurang 2 meter apabila sampai di lokasi kejadian hingga menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut.
"Akibatnya, seorang pemancing, Muhammad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia dan seorang lagi mangsa, Hafizul Ajis Samsudin, 31, mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, Anuar memberitahu, empat lagi mangsa termasuklah Che Roslan, Mohd Firdaus Zainal; 36, Engku Mohamad Farizam Fadilah; 19, dan Zulkifli Ahmad; 45, dalam keadaan baik.
Beliau berkata, mereka diselamatkan bot Perkasa milik Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama empat kru kira-kira jam 12 tengah hari selepas menerima panggilan meminta bantuan daripada tekong bot.
Tambah beliau, mangsa yang cedera telah dibawa bot lain yang berada berdekatan ketika kejadian dan terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh orang awam untuk rawatan lanjut.
"Ketika ini, Hafizul sedang menerima rawatan di hospital berkenaan dan keadaannya stabil," katanya.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke Jeti Tanjung Dawai oleh Maritim Malaysia sebelum dibawa ke HSAH untuk bedah siasat.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang pemancing ditemui lemas manakala lima lagi selamat apabila bot yang dinaiki mereka terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, di sini.