KUCHING - Sejumlah 89 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan jumlah itu melibatkan 18,141 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.
"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada pada Selasa.
"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.
Pengundian awal pada Selasa dilaksanakan di 85 pusat mengundi dengan 111 saluran disediakan. Ia berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang.
SPR menetapkan pengundian PRN12 pada Sabtu ini.- Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my