Cabaran kembalikan era kegemilangan Gergasi Merah

Iklan
Nidzam Jamil
BEKAS Ketua Jurulatih Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil tidak melihat keputusannya untuk menggalas tanggungjawab selaku penolong ketua jurulatih Selangor FC, sebagai ‘turun pangkat’.

Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan keputusan mudah untuk beliau mengembalikan era kegemilangan skuad Gergasi Merah walaupun menerima tawaran menjadi ketua jurulatih daripada beberapa pasukan Liga Premier.

"Saya tidak memilih ke pasukan lain kerana merasakan ini waktu terbaik untuk balik ke Selangor. Ini bukan pilihan susah buat saya untuk katakan tidak kerana semua orang tahu Selangor antara pasukan yang baik di Liga Malaysia.

"Malah saya tertarik dengan projek sedang dilakukan Selangor dengan memberikan penumpuan serius terhadap pembangunan pemain muda dari Selangor 2 dan 3, serta graduan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang turut berada di sini," katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa.

Mohd Nidzam dan Karsten Neitzel dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Selangor pada 22 November lalu, bagi membantu Michael Feichtenbeiner menghadapi saingan Liga Super musim 2022.

Sementara itu, Mohd Nidzam tidak menafikan Selangor mempunyai nilai sentimental tersendiri buat dirinya, kerana di sanalah beliau memulakan karier bola sepaknya.

"Dari sinilah saya mengenali bola sepak, bermula menjadi pengutip bola, berlatih di akademi sebelum bermain di semua kejohanan peringkat umur di Selangor dan diserap ke pasukan senior.

"Malah semasa remaja dulu, saya sanggup naik bas dari Kajang untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor. Segala kenangan itu memang seronok yang menjadikan saya mahu jadi sebahagian daripada Selangor dan saya rasakan ini tempoh paling baik bersama pasukan,” katanya.

Mohd Nidzam sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Felda United selama dua musim pada 2019 dan 2020, selain pernah menjadi penolong ketua jurulatih kepada B. Satianathan pada musim 2017 dan 2018 untuk pasukan berkenaan.

Sebagai pemain, Mohd Nidzam pernah menyarung jersi Selangor selama lima musim dari 1999-2004, selain pernah beraksi dengan PKNS, Negeri Sembilan dan Proton FC. - Bernama